Suka duka hari pertama persekolahan

Suka duka hari pertama persekolahan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Jan – Tangisan dan teriakan memanggil ibu bapa sudah menjadi kelaziman bagi murid-murid pra yang baru memasuki alam persekolahan dan suasana ini dapat dilihat di Sekolah Persatuan Tanjong Maya (PERTAMA), Tutong di mana lebih 90 orang murid pra mendaftar.

Guru Besar Sekolah PERTAMA, Hajah Siunchang binti Haji Kurus menjelaskan, perkara tersebut sudah pun menjadi kebiasaan bagi pihak sekolah yang berdepan dengan situasi tersebut kerana sebilangan kanak-kanak yang baru bersekolah ini akan menangis mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu atau tiga minggu.

Untuk mengelakkan kanak-kanak menangis secara berpanjangan, jelasnya, setiap Kelas Pra akan mempunyai penolong sementara bagi membantu guru-guru untuk meredakan tangisan murid-murid serta mengawal kanak-kanak lain.

Namun ada sebilangan ibu bapa atau penjaga yang khuatir melihat anak mereka menangis berterusan dan akan mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah memandangkan mereka masih lagi menangis dan tidak mahu bersekolah.

Untuk mengelakkan kanak-kanak menangis secara berterusan, beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga agar tidak datang ke sekolah semasa waktu rehat tapi jika bertujuan untuk menghantar makanan, maka ia dibolehkan.

Murid-Murid Pra Sekolah PERTAMA bertemu kawan-kawan baru pada hari pertama persekolahan.
Murid-Murid Pra Sekolah PERTAMA bertemu kawan-kawan baru pada hari pertama persekolahan.

Mereka juga perlu memberi kerjasama dengan guru-guru dan sekurang-kurangnya mereka harus segera pergi apabila melihat keadaan anak mereka duduk diam bersama kawan-kawan mereka.

Memang difahami ada sebilangan ibu bapa dan penjaga mempunyai sifat ingin tahu dan tidak mahu berjauhan dengan anak-anak, bahkan dengan cara mereka ini akan mengundangkan kesedihan lagi kepada sebilangan murid-murid lain terutama bagi mereka yang terlihat wajah ibu bapa mereka.

Selama seminggu, bermula hari ini, murid-murid berkenaan yang mendaftar masuk bagi Pra 1 dan Pra 2 akan menjalani sesi orientasi sebelum hari persekolahan biasa dijalankan.

Sekolah PERTAMA ini merupakan salah sebuah sekolah swasta di Daerah Tutong milik Persatuan Tanjong Maya Tutong yang mula beroperasi pada 1 Januari 1990.

Pada masa kini, lebih 435 orang murid telah menuntut di sekolah berkenaan bermula dari Pra 1 sehingga Tahun 6 dan mempunyai 35 orang tenaga pengajar tempatan.

Antara subjek yang akan dipelajari bagi murid-murid pra sekolah ini adalah Numerasi (kira-kira), Literasi sama ada dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, Kesihatan dan Keselamatan, Pergerakan dan Permainan, Nyanyian dan Lakonan, Asuhan Budi dan Lukisan serta Kraf Tangan.

ARTIKEL YANG SAMA