‘Suka Duka Sama-Sama’

‘Suka Duka Sama-Sama’

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Masjid mampu menghubungkan semua lapisan masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembangunan ummah melalui pelaksanaan peranan oleh enam ‘warga’ masyarakat: imam, jemaah masjid, ketua dan anak buah kampung, jiran, ibu bapa dan belia.

Peranan-peranan berkenaan telah dihuraikan secara lanjut oleh Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor semasa Kuliah Subuh sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-3 Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar hari ini.

Menurutnya semasa kuliah bertajuk ‘Suka Duka Sama-Sama’ di MRSB itu, Pegawai Hal Ehwal Masjid (PHEM) dan imam di setiap masjid tempat mereka bertugas hendaklah memikul tanggungjawab sama-sama dan bersatu hati dalam mentadbir dan memakmurkan masjid.

Jemaah masjid pula berperanan untuk sama-sama membantu PHEM dan imam dalam memakmurkan masjid dan menjauhi perkara-perkara yang membawa kepada pertelingkahan dan pertengkaran, hurainya.

Beliau seterusnya mengatakan bahawa ketua kampung berperanan dalam sama-sama menjaga maslahat kampung dan menyatupadukan anak buah kampung.

Haji Ali Yusri bergambar kenangan bersama para jemaah masjid yang hadir mendengarkan Kuliah Subuh beliau.
Haji Ali Yusri bergambar kenangan bersama para jemaah masjid yang hadir mendengarkan Kuliah Subuh beliau.

Jiran juga turut tidak ketinggalan mempunyai peranan penting iaitu untuk sentiasa menerapkan sikap tolong-menolong dan bertolak ansur sesama jiran demi kepentingan bersama, tambahnya.

Haji Ali Yusri kemudiannya menyatakan penglibatan ibu bapa sangat signifikan dalam membentuk kerohanian, pembelajaran dan sahsiah jati diri anak-anak mereka maka ibu bapa berperanan untuk menjaga kepentingan belajar dan aktiviti harian anak-anak mereka supaya sentiasa seimbang.

“Peranan belia pula adalah dalam sama-sama memajukan sahsiah jati diri mereka dalam aspek akademik serta mengisikan masa mereka dengan melakukan aktiviti riadah yang menyihatkan dan yang paling penting menghormati ibu bapa.”

Haji Ali Yusri menegaskan setiap individu memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan masyarakat harmoni yang saling tolong-menolong dan bersatu hati dalam menempuh suka duka kehidupan seharian.

“Hubungan dalam menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat ini dapat dilihat melalui jalinan kerjasama sesama institusi keluarga, masjid dan kampung. Kita perlu menjadikan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sebagai rol model dalam kehidupan seharian kita, baik dalam hidup kekeluargaan mahupun bermasyarakat.”

Adalah penting untuk semua pihak menanai amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan di atas bahu mereka kerana kejayaan pasti diraih menerusi usaha dan doa, ujarnya.

Beliau kemudiannya menyimpulkan bahawa jika peranan PHEM, imam, jemaah masjid, ketua kampung, anak buah kampung selaku jiran, ibu bapa dan anak-anak selaku belia dapat bersatu akan membawa keberkatan dalam kehidupan serta memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat.

ARTIKEL YANG SAMA