SUKA lancar Program Sumbang dan Bantu

SUKA lancar Program Sumbang dan Bantu

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 10 Jan – Semangat kesukarelawanan pada masyarakat khususnya dalam kalangan belia akan diketengahkan dan diraikan melalui acara penuh bermakna dan simbolik iaitu Day Of Action (D.O.A), yang diadakan buat kali pertama secara besar-besaran di keempat-keempat daerah di negara ini, hari ini.

Daerah Tutong juga tidak ketinggalan sama-sama memeriahkan dan meraikan acara bersejarah dalam usaha untuk mengembangkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia.

Pelbagai kegiatan dan aktiviti telah disusun bagi memeriahkan D.O.A di daerah ini, termasuk program kegiatan kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA), iaitu Program Sumbang dan Bantu yang dikendalikan bersama oleh ahli-ahli SUKA dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, di mana perasmian program berkenaan berlangsung di Bangunan SUKA, Tutong, hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian dan turut serta menyumbang sumbangan berupa pakaian pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Menurut Ketua Urus Setia Sukarelawan Daerah Tutong selaku Ketua Pengurus Program Sumbang dan Bantu, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali, program itu merupakan program kegiatan kemasyarakatan bagi SUKA sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa dan ia merupakan sebuah program yang berterusan sebagai usaha untuk memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

Haji Adnan memotong reben merasmikan Program Sumbang dan Bantu.
Haji Adnan memotong reben merasmikan Program Sumbang dan Bantu.
Sukarelawan bersedia untuk menerima sumbangan lampin pakai buang melalui program Diapers Donation yang dikendalikan oleh SBYLEP.
Sukarelawan bersedia untuk menerima sumbangan lampin pakai buang melalui program Diapers Donation yang dikendalikan oleh SBYLEP.

Ia bermatlamat untuk memberikan peluang dan ruang kepada masyarakat untuk menyumbang dan mendapatkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, menyokong dan memupuk budaya berjimat cermat dan kitar semula dalam kalangan masyarakat serta untuk mendidik masyarakat bersikap menghargai dan prihatin dengan kesusahan orang lain, sebagai inisiatif SUKA dalam mempelbagaikan kaedah pemberian bantuan kepada yang memerlukan secara lebih efektif dan berwawasan.

Menerusi Program Sumbang dan Bantu, orang ramai dialu-alukan untuk menyumbangkan apa jua jenis pakaian baru atau terpakai kepada mereka yang memerlukan, dengan memastikan pakaian yang diserahkan adalah dalam keadaan baik dan sempurna, yang mana sumbangan pakaian tersebut bolehah dihantar terus ke pusat pengumpulan di Bangunan Sukarelawan Tutong.

Selain daripada Program Sumbang dan Bantu, Jabatan Belia dan Sukan cawangan Tutong dengan kerjasama Persatuan Basikal Ekspedisi Sukarelawan Tutong (BEST) turut mengadakan kempen kebersihan bermula di kawasan tepi jalan raya Kampung Serambangun hingga ke Kampung Lubok Pulau.

Manakala itu, Jabatan Daerah Tutong serta ahli-ahli sukarelawan lain dari daerah ini juga menghulurkan bantuan kepada ahli-ahli Program Pertukaran Kepimpinan Belia Singapura-Brunei (SBYLEP) dalam memberikan sumbangan seperti lampin pakai buang (Diapers Donations), di mana orang ramai boleh menghulurkan sumbangan mereka ke Pusat Belia cawangan Tutong bermula pukul 7 pagi hingga 3 petang, hari ini.

Pada masa yang sama, Jabatan Daerah Tutong juga bekerjasama dengan ahli-ahli sukarelawan untuk menjayakan Program Soup Kitchen dengan membantu mengagih-agihkan sumbangan makanan kepada seramai 250 orang penerima sumbangan yang tersenarai di Daerah Tutong.

Penglibatan para sukarelawan dalam acara yang dilaksanakan itu diharap mampu menjadi pemangkin untuk membakar semangat kesukarelawanan dan juga memberikan peluang kepada mereka untuk mengembangkan lagi rangkaian hubungan serta pengalaman masing-masing.

Pada masa yang sama, melalui kegiatan yang dijalankan juga, diharap akan dapat mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat, di samping memberikan pendedahan kepada isu-isu berkenaan supaya tindakan yang wajar atau bersesuaian dapat dilaksanakan bagi menanganinya.