Suka-Suka ‘A’ juara badminton berpasukan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Mac – Perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 bagi Daerah Belait anjuran Majlis Perundingan Kampung Pandan C dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait telah diadakan malam tadi di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan di sini.

Pasukan Badminton Suka-Suka ‘A’ muncul sebagai juara manakala tempat kedua pula Pasukan Bravery, tempat ketiga disandang oleh Pasukan Pandan Badminton Club dan tempat keempat pula Pasukan Suka-Suka Badminton ‘B’.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Mohammad Zamree bin Haji Junaidi.

Pada perlawanan akhir tersebut telah menyaksikan pertemuan antara Pasukan Suka-Suka ‘A’ dengan Pasukan Bravery untuk menentukan juara kejohanan.

Pasukan Suka-Suka ‘A’ menjadi juara Pertandingan Akhir Kejohanan Badminton Berpasukan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34.

Kejohanan tersebut telah bermula pada 20 Februari lalu dan telah disertai oleh sejumlah 11 buah pasukan, ia juga diadakan bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dan silaturahim di kalangan semua pemain badminton khususnya di Daerah Belait.

Di samping itu, ia juga sebagai memberi galakan kepada penduduk-penduduk di Daerah Belait untuk menjadi lebih aktif dalam bersukan demi untuk kesihatan dan kecergasan tubuh badan serta membantu perkembangan sukan badminton di daerah berkenaan.

Hadir sama menyaksikan perlawanan akhir tersebut ialah ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Pandan C serta peminat-peminat sukan badminton.