Sukan Antara Mukim labuh tirai

Sukan Antara Mukim labuh tirai

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Kejohanan Sukan Antara Mukim Kedua 2015 melabuhkan tirainya hari ini dengan mengadakan perlawanan penentuan tempat keempat, ketiga, naib johan dan johan dalam perlawanan tarik kalat dan perlawanan peringkat akhir perlawanan bola jaring, yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun, Mukim Lumapas.

Perlawanan tarik kalat dijuarai oleh Pasukan Mukim Kuala Belait, manakala naib johan disandang oleh Pasukan Mukim Seria, Pasukan Mukim Mentiri di tempat ketiga dan Pasukan Mukim Rambai, Tutong di tempat keempat.

Sementara dalam perlawanan bola jaring, gelaran juara dimenangi oleh Pasukan Mukim Berakas, naib johan dimenangi oleh Pasukan Mukim Kuala Belait, ketiga ialah Pasukan Kiudang dan keempat ialah Pasukan Mukim Bangar.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama para pemenang acara tarik kalat.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama para pemenang acara tarik kalat.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi diperkenalkan kepada para peserta yang mengikuti kejohanan tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi diperkenalkan kepada para peserta yang mengikuti kejohanan tersebut.
Yang Berhormat Pehin mengalungkan pingat kepada salah seorang peserta yang mengikuti acara tarik kalat.
Yang Berhormat Pehin mengalungkan pingat kepada salah seorang peserta yang mengikuti acara tarik kalat.
Juara acara tarik kalat membawa pulang $500.
Juara acara tarik kalat membawa pulang $500.
Salah satu aksi perlawanan tarik kalat pada kejohanan tersebut.
Salah satu aksi perlawanan tarik kalat pada kejohanan tersebut.
Acara bola jaring yang diadakan di dalam dewan.
Acara bola jaring yang diadakan di dalam dewan.

Hadir sama pada kejohanan itu ialah Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Timbalan Setiausaha Tetap kementerian tersebut, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Acara bermula dengan tetamu kehormat menyaksikan perlawanan akhir sukan tarik kalat yang diadakan di luar dewan, manakala Datin Paduka Dr. Hajah Norlila menyaksikan perlawanan akhir bola jaring di dalam dewan.

Seterusnya, acara diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada wakil persatuan sukan kebangsaan dan penyampaian hadiah-hadiah kemenangan bagi acara tarik kalat dan bola jaring.

Jabatan Belia dan Sukan (JBS) menyatakan sukan antara mukim merupakan salah satu usaha berterusan JBS bagi menggalakkan masyarakat Brunei untuk mengamalkan cara hidup sihat dengan melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan riadah secara berterusan melalui penyertaan penduduk kampung dan mukim di keempat-empat daerah.

Seperti terkandung dalam dasar sukan negara ke arah pembangunan ‘sukan untuk masyarakat’, sukan itu juga diharap dapat membawa kepada persefahaman, semangat perpaduan dalam pembangunan sosial dan keamanan dalam kalangan penduduk mukim dan kampung.

Sebanyak dua acara dipertandingkan iaitu bola jaring dan tarik kalat yang disertai enam mukim termasuk Mukim Bangar, Mukim Labu, Mukim Berakas ‘A’, Mukim Mentiri, Mukim Kuala Belait dan Mukim Kiudang.

Sementara acara bola jaring disertai oleh empat mukim, iaitu Mukim Seria, Mukim Rambai, Mukim Mentiri dan Mukim Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA