Sukan BEG pamer kemahiran peserta

Sukan BEG pamer kemahiran peserta

UNITED KINGDOM, Nottingham, 31 Mac – Lim Kok Sheng muncul juara kategori perseorangan terbuka Ping Pong selepas berjaya menewaskan Awang Afiq bin Ajamain dalam Sukan Easter BruNotts (BEG) yang dianjurkan oleh Persatuan BruNotts di Pusat Sukan Kampus Universiti Park, Universiti Nottingham, baru-baru ini.

Sementara itu, Haji Mohd Shril bin Haji Matsawali pula menyusuli di tempat ketiga dalam kategori tersebut.

Manakala dalam perlawanan akhir kategori bola jaring, Pasukan ‘Silver Lightning’ muncul juara setelah menumpaskan Pasukan ‘So Don’t’. Sementara Pasukan ‘Chaos’ mendapat tempat kedua selepas menang ke atas pasukan bola jaring BruNotts.

Bagi Kategori Perseorangan Lelaki Badminton pula, juara dimenangi oleh Wong Dee Yeong, diikuti oleh Alex Ng dan Jonathan Timothy Heng, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Manakala dalam Kategori Regu Lelaki, Pasukan ‘Ayam’ memenangi tempat pertama, diikuti oleh Alex/Wei Jie di tempat kedua dan Pasukan ‘Something Funny’ di tempat ketiga.

Gambar ramai bersama ahli Persatuan BEG semasa acara tersebut.
Gambar ramai bersama ahli Persatuan BEG semasa acara tersebut.

Pasukan ‘Lufbruisers’ pula muncul juara dalam Kategori Regu Campuran setelah menewaskan Pasukan ‘Lemon Pepper’ dan Pasukan ‘I Dont Remember’ yang meraih tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu dalam pusingan terakhir Perlawanan Futsal Lima Sepasukan telah menyaksikan Pasukan ‘Black Ops’ menyandang gelaran juara membenam Pasukan ‘Papui’ dengan jaringan 1-0. Di tempat ketiga dan keempat pula, masing-masing dimenangi oleh Pasukan ‘Scabbles FC’ dan Pasukan ‘Team Soton’.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Brunei Darussalam ke United Kingdom, Awang Dino bin Haji Ayub. Juga hadir ialah para pegawai dari Unit Pelajar-Pelajar Brunei (UPP).

Tiga anugerah juga turut disampaikan dalam acara tersebut iaitu Anugerah Kasut Emas yang dimenangi oleh Awang Aliff bin Zulkifli daripada Pasukan ‘Black Ops’, Dayang Rafidah binti Haji Rosli daripada Pasukan ‘Chaos’ bagi Anugerah Pemain Bintang Bola Jaring, dan Dayang Nur ‘Izzati Firzanah binti Mohamad Yussof pula merupakan penerima bagi Anugerah Sukarela Paling Membantu.

Turut menerima penghargaan ialah pereka grafik rasmi acara ini yang telah membantu mereka logo rasmi BEG, sepanduk, baju dan juga sijil, Awang Muhammad Sahlan Safwan bin Haji Suhaili.

Terdahulu, upacara perasmian dilancarkan oleh Ketua Pengerusi Eksekutif BEG Ibnu Ayyub Haji Mohammad dengan nyanyian lagu kebangsaan, diikuti dengan bacaan doa oleh Pegawai Agama BruNotts, Awangku Syazwan bin Pengiran Sulaiman bagi memberkati majlis.

Ibnu Ayyub dalam ucapan perasmiannya mengalu-alukan dan melahirkan penghargaan kepada semua orang yang terlibat dalam acara ini termasuk para peserta, sukarela mahupun penyokong sukan ini.

Beliau juga seterusnya mengambil peluang untuk mengumumkan keluaran rasmi aplikasi telefon Persatuan BruNotts. Aplikasi tersebut diwujudkan sebagai kaedah perhubungan dalam persatuan, menjadi platform bagi ‘sosial media feed’ yang mengandungi laman sesawang, instagram dan Facebook.

Aplikasi tersebut juga memaparkan kemas kini langsung tentang perlawanan BEG, keputusan perlawanan dan juga portal bagi hadirin untuk memuat naik dan mengongsikan kenangan-kenangan mereka di acara itu menerusi hashtag #13thBEG2016.

BEG terkenal dengan cogan katanya ‘Let’s meet to compete’ (mari bertemu untuk bersaing). Tahun ini, ia sekali lagi membuka pintu buat semua warga Brunei di United Kingdom untuk menyertainya yang membolehkan mereka memperlihatkan kemahiran masing-masing dalam pelbagai sukan yang ditawarkan.

Selain daripada perlawanan sukan, acara tersebut juga memberi peluang para peserta untuk membeli sambil beramal daripada jualan makanan dan minuman semasa acara tersebut.

BEG anjuran Persatuan BruNotts disokong oleh Pejabat Antarabangsa Universiti Nottingham dan Kesatuan Pelajar-Pelajar bersama dengan para penaja yang terdiri daripada UPP, DST, Royal Brunei Airlines (RB), Brunei Gas Carriers (BGC) dan Soartech Systems Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA