Sukan dan pelajaran perlu seimbang

Sukan dan pelajaran perlu seimbang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Sukan Bola Sepak merupakan sukan yang menjadi kegemaran dan diminati ramai di negara ini termasuk di Daerah Tutong, apatah lagi dengan adanya penganjuran Kejohanan Bolasepak Sekolah-sekolah Rendah bagi zon-zon di daerah berkenaan.

Pegawai pelajaran, Jabatan Pendidikan Kokurikulum cawangan Tutong, Awang Zamain bin Sia ketika dihubungi mengucapkan tahniah kepada Pasukan Sekolah Rendah Birau atas kejayaan menjuarai Zon I Daerah Tutong semalam.

Selain daripada itu ketika ditanya mengenai perkembangan bola sepak peringkat sekolah rendah di sana, beliau menegaskan penyertaan amat menggalakkan dalam kalangan pemain-pemain peringkat tunas di daerah berkenaan.

Tetapi menurutnya, “sekarang perkembangannya (bola sepak) sedikit terhad kepada pembelajaran akademik kerana jika berbanding sebelum ini jumlah penyertaan bagi acara sukan ini adalah lebih ramai berbanding kali ini.”

Menurutnya lagi keadaan ini turut menyebabkan terdapat sebilangan sekolah yang turut menyenaraikan pemain yang kini berada di dalam Pra persekolahan dan ia adalah satu perkembangan yang baik meskipun pertandingan itu akan lebih mencabar jika melibatkan pemain yang lebih berusia pada tahun 5 atau 6 dari sekolah masing-masing.

Antara aksi pemain semasa perlawanan kejohanan bola sepak yang diadakan di daerah tersebut.
Antara aksi pemain semasa perlawanan kejohanan bola sepak yang diadakan di daerah tersebut.

“Penglibatan murid-murid di pra persekolahan dalam acara seperti ini merupakan perkembangan dan pendedahan awal yang sangat positif,” ujarnya lagi.

Selain daripada itu juga, menurutnya, pemain dari Daerah Tutong juga tidak ketinggalan untuk disalurkan kepada Skim Bolasepak Akar Umbi dan setakat ini katanya ia mendapat sambutan hangat dan sokongan padu pihak sekolah dan juga ibu bapa serta masyarakat Tutong.

“Sokongan Ibu bapa dan penjaga serta semua pihak berkepentingan adalah mustahak dan perlu ada kerana melalui skim yang dianjurkan ia bukan sahaja mampu melahirkan pemain yang berkaliber di masa akan datang, malah meningkatkan lagi semangat juang dan jati diri serta daya saing anak-anak Brunei Daerah Tutong yang bersemangat waja,” tegasnya.

Beliau turut menyarankan supaya ibu bapa serta semua pihak akan terus membimbing dan memberikan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagia kepada perkembangan kanak-kanak ini dalam acara sukan mahupun pembelajaran masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA