Sukan eratkan tali kekeluargaan

Sukan eratkan tali kekeluargaan

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 27 Dis – Bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk kampung dan penduduk sekitarnya, Majlis Perundingan Kampung Bukit Beruang dengan kerjasama Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang dan Persatuan Belia-belia Bukit Beruang (KESUMA), hari ini, telah mengadakan Sukan Keluarga di Taman Rekreasi Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Tutong.

Hadir melancarkan acara tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, juga selaku Penghulu Mukim Telisai.

Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan dan zumba beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Supt. Haji Chipli bin Haji Mohamad.

Pada acara itu juga, beberapa pameran turut dijalankan mengenai penubuhan dan peranan Pengawasan Kejiranan daripada Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan pameran daripada Kumpulan Berbasikal Expedisi Sukarelawan Tutong (BEST).

Yang Berhormat Haji Ramli ketika melancarkan Sukan Keluarga di Taman Rekreasi Bukit Beruang.
Yang Berhormat Haji Ramli ketika melancarkan Sukan Keluarga di Taman Rekreasi Bukit Beruang.
Antara yang menyertai  senamrobik pada Sukan Keluarga tersebut.
Antara yang menyertai senamrobik pada Sukan Keluarga tersebut.
Antara aktiviti Sukan Keluarga yang diadakan.
Antara aktiviti Sukan Keluarga yang diadakan.

Selain itu, beberapa acara sukan berkeluarga juga disusun melibatkan kanak-kanak dan keluarga, antaranya ialah acara berjalan dengan tempurung kelapa, berlari dengan kayu bulat dan pertandingan masakan sayur dan menumpah ambuyat secara berpasukan.

Acara ini juga diadakan bagi memberikan kesedaran kepada penduduk kampung betapa pentingnya amalan sihat dalam kehidupan seharian dan menyuntik semangat berpasukan dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan menghidupkan kerjasama melalui aktiviti sukan ria seumpama ini.

Acara julung-julung kali itu turut disertai oleh penduduk dan belia-belia kampung berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA