Sukan lasak tidak mengira jantina

Sukan lasak tidak mengira jantina

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Jarang sekali kita melihat wanita yang meminati sukan lasak apatah lagi sukan yang boleh meningkatkan adrenalin dan mencabar seperti sukan lumba motorcross yang diceburi oleh Liyana Zakaria.

Beliau yang berusia 25 tahun dan kini bertugas dengan sektor kewangan di negara ini memilih sukan motorcross ini kerana ia adalah satu sukan yang kompetitif serta memerlukan pengetahuan dan pembelajaran teknik tunggangan yang betul selain memerlukan fizikal yang cergas serta cerdas.

Menurutnya, sukan tersebut bukan sahaja mencabar dari segi fizikal, namun juga dari segi mental memandangkan penunggang perlu sentiasa tenang untuk membuat keputusan pantas terutama dalam situasi perlumbaan yang sengit.

“Saya beralih dari perlumbaan motosikal cubprix ke motorcross kerana perlumbaan cubprix telah ditiadakan lagi di sini dan satu hari saya mendapat tahu tentang perlumbaan motorcross yang diadakan di sini dan terus timbul semula minat untuk mencuba,” ujarnya kepada Media Permata.

Apabila ditanya mengenai persiapannya, beliau menegaskan persiapan untuk perlumbaan yang perlu diberikan perhatian adalah latihan fizikal, latihan kecergasan dan teknikal selain menjalankan latihan kecergasan akan dibuat empat hingga lima kali dalam seminggu seperti joging dan bootcamp yang dilakukan selepas waktu bekerja.

Liyana Zakaria ketika ditemui Media Permata.
Liyana Zakaria ketika ditemui Media Permata.

Dari segi latihan di trek pula, beliau menjalankan latihan di antara dua hingga tiga kali seminggu terutama pada hari Sabtu dan Ahad dan antara yang diberikan perhatian adalah mengenai teknik penukaran gear yang betul, laluan lumba, selekoh dan cara lompatan serta mendarat.

Menurutnya lagi mana-mana sukan ada risikonya tersendiri, sukan motorcross adalah sukan yang mempunyai risiko kecederaan yang tinggi tetapi jika memiliki teknik asas serta memakai kelengkapan keselamatan, risiko itu boleh dikurangkan.

“Perlumbaan pertama yang saya ikuti ialah pada oktober 2015 di Brunei dan pada masa itu saya adalah pelumba perempuan tunggal bersaing dengan pelumba-pelumba lelaki dan kini saya juga pernah mengikuti perlumbaan di Malaysia seperti Miri, Labuan yang didominasi oleh lelaki,” tambahnya lagi.

Kenangan manis baginya terjadi baru-baru ini apabila beliau turut naik ke podium meraih hadiah dalam kategori wanita di Johor Baru dan ketika itu katanya saingan hebat diberikan oleh pelumba-pelumba dari Malaysia dan Singapura.

“Setakat ini saya cuma menceburi sukan ini untuk hobi tetapi jika diberi kesempatan untuk melangkah lebih jauh, saya akan terus mencuba sedaya upaya untuk menjadi lebih baik dan Insya-Allah akan terus mengikuti perlumbaan-perlumbaan di luar negara dan bercita-cita menjadi salah seorang yang menggiatkan dan memperkembangkan sukan lasak ini di negara ini,” tegas beliau.