Sukan main peranan penting di ASEAN, kata Ali Hamsa

Sukan main peranan penting di ASEAN, kata Ali Hamsa

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) – Sukan boleh memainkan peranan penting ke arah pewujudan ASEAN berorientasikan rakyat dan berpaksikan rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Menjadikan Sukan Perkhidmatan Awam ASEAN (ACSG) yang diadakan di negara ini sebagai contoh, beliau berkata sukan itu membabitkan lebih 500 peserta daripada semua 10 negara adalah satu pencapaian cemerlang dan penting dalam usaha merealisasikan Komuniti ASEAN.

Katanya, acara sukan itu yang julung kali dianjurkan juga adalah acara yang begitu signifikan dari segi tiada blok di rantau lain yang menganjurkan acara seumpama itu yang menghimpunkan penjawat awam terbaik daripada 10 negara ASEAN untuk bertanding dalam lima jenis sukan iaitu futsal, boling tenpin, golf, ping pong dan badminton.

“Ia memperkukuhkan lagi jalinan dan perpaduan dalam kalangan penjawat awam ASEAN. Sering dikatakan bahawa sukan dapat menjadi contoh kecemerlangan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam gala sukan itu bagi menandakan secara rasminya penutupan acara itu yang diadakan sejak Isnin.

“Kecemerlangan adalah hasil daripada usaha untuk melakukan dengan lebih baik lagi, sebagai peringatan kepada penjawat awam untuk berusaha lebih keras dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” kata Ali.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan ketua kontinjen negara, Datuk Zaiton Othman.

Malaysia muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 10 pingat emas, empat pingat perak dan empat pingat gangsa.

Indonesia di tempat kedua dengan satu pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa manakala Vietnam di tempat ketiga dengan lima pingat gangsa.

Acara boling menjadi lubuk emas Malaysia dengan tujuh pingat emas.

Sementara itu Zaiton ketika ditemui pemberita, menyifatkan kejayaan muncul juara keseluruhan jelas satu perkara membanggakan kerana mereka hanya meletakkan sasaran tujuh pingat emas.

“Apapun yang penting kejohanan ini dapat mengeratkan silaturahim, jalinan kerjasama antara negara kita dengan negara ASEAN yang lain,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA