Sukan mampu satukan rakyat

Sukan mampu satukan rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Sokongan padu rakyat Malaysia yang berbilang kaum terhadap Olimpian negara itu membuktikan acara sukan mampu menyatupadukan rakyat, kata jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei.

Pemenang pingat perak acara perseorangan Sukan Olimpik untuk kali ketiga berturut-turut itu juga berharap sokongan sama akan berterusan kepada atlet negara itu walaupun beliau tidak lagi akan beraksi di Sukan Olimpik.

“Saya sangat gembira dengan sokongan rakyat, tidak mengira apa bangsa pun…Melayu, Cina dan India. Kita sama-sama satu Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Menurut pemain berusia 33 tahun itu, pencapaian empat pingat perak dan satu gangsa adalah hadiah terbaik daripada atlet negara itu untuk sambutan Hari Kebangsaan Malaysia kali ini.

Datuk Lee Chong Wei bersama para atlet Malaysia ke Olimpik Rio melintasi pentas kehormat pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59 bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ di Dataran Merdeka kelmarin. – Bernama
Datuk Lee Chong Wei bersama para atlet Malaysia ke Olimpik Rio melintasi pentas kehormat pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59 bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ di Dataran Merdeka kelmarin. – Bernama

Terdahulu, pemain nombor satu dunia itu menerima tepukan gemuruh hadirin dan tidak kurang juga ada peminat sukan badminton yang menjerit-jerit nama Chong Wei sebaik sahaja beliau tiba untuk menghadiri majlis tersebut.

Majlis turut dihadiri Olimpian yang menyumbang pingat di Rio seperti Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon dan Mohd Azizulhasni Awang serta atlet lain.

Sementara itu, Pandelela yang bersama Jun Heong menyumbang pingat perak acara 10 meter platform seirama, juga sependapat dengan Chong Wei. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA