Sukan motosikal jana pendapatan negara – Najib

Sukan motosikal jana pendapatan negara – Najib

SEPANG, 23 Okt (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, acara sukan bermotor seperti Grand Prix Motosikal Malaysia memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan negara.

“Walaupun kita boleh mengharapkan pelawat antarabangsa dari negara yang kukuh mata wang untuk berbelanja lebih banyak tahun ini di Grand Prix Motosikal Malaysia Shell, kepentingan industri sukan bermotor di Malaysia adalah lebih daripada hanya pendapatan kitaran daripada pelancong,” katanya dalam buku program SIC sempena Grand Prix Motosikal Malaysia 2015.

Malah, kata beliau, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah melakukan banyak usaha untuk mengembangkan aspek perniagaan sekitar sukan bermotor dengan Litar Sepang sebagai pusat tindakan.

“Saya percaya pasukan SIC telah berkongsi beberapa perancangan jangka panjang mereka untuk membangunkan kawasan itu (Litar Sepang) dengan idea-idea seperti kemudahan perniagaan berteraskan sukan bermotor, sebuah hotel dan taman tema,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata kerajaan sedar berhubung nilai persisian yang menyokong industri dan perniagaan untuk sukan bermotor dan akan terus menyediakan persekitaran yang kondusif bagi sukan bermotor di Malaysia.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada SIC dan pihak-pihak lain yang telah menyumbang kepada Grand Prix Motosikal Malaysia sejak perlumbaan sulungnya 25 tahun lalu.

“Kami bangga apabila Malaysia berjaya menjadi tuan rumah acara antarabangsa dan selepas suku abad amanah daripada FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa) untuk acara sukan bermotor antarabangsa paling lama berlangsung di Malaysia.

“Saya percaya saya boleh menyatakan bahawa Malaysia adalah tuan rumah berkaliber,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA