Sukan Musim Panas BruONZ 2016 labuh tirai

Sukan Musim Panas BruONZ 2016 labuh tirai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Tirai Sukan Musim Panas BruONZ 2016 hari ini ditutup secara rasmi di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menutup acara tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abiddin.

Di awal majlis Dato Paduka Dr. Haji Affendy diperkenalkan kepada barisan pemain BruONZ Selection XI yang bakal menentang Pasukan Najip I-Team dalam perlawanan persahabatan penutupan rasmi sukan musim panas kali ke-8 itu.

Tetamu kehormat majlis turut menyampaikan hadiah kepada barisan pemenang di sepanjang sukan berkenaan berlangsung bermula pada 6 Januari menampilkan lima sukan termasuk futsal, badminton, bola keranjang, boling dan Dodgeball.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pasukan BruONZ Selection XI dan Najib I-Team.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pasukan BruONZ Selection XI dan Najib I-Team.

Menurut Naib Presiden BruONZ, Yee Kiat, BruONZ merupakan sukan musim panas bagi pelajar-pelajar Brunei Darussalam di Australia dan New Zealand yang membawa objektif untuk mengeratkan silaturahim di kalangan para pelajar dan menjadi aktiviti pada musim percutian yang bakal berakhir pada penghujung Februari ini nanti.

Lima sukan dipertandingkan bermula pada 6 Januari yang bertempat di beberapa lokasi seperti Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya, Megastrike Bowling dan Gelanggang Bola Keranjang Batu Bersurat jelasnya.

Pada penganjuran kali ke-8 tahun ini, BruONZ melibatkan lebih 100 pelajar Brunei Darussalam yang kini terlibat dengan pengajian di lima negeri di kedua-dua negara dan Yee Kiat menyatakan rasa berbesar hatinya untuk melihat respons menggalakkan pada penganjuran tahun ini dan berharap ia akan diteruskan pada tahun hadapan dan mendapat kejayaan seperti yang diperoleh tahun-tahun sebelum ini.

Dalam sukan Bola Keranjang Pasukan Melbourne tampil juara dan mengutip pingat emas diikuti oleh pasukan daripada Sydney II menerima pingat perak dan gangsa jatuh kepada Pasukan Sydney.

Pasukan Brisbane Dodge pula memperoleh emas dalam sukan Dodge Ball diikuti di tempat kedua untuk mengutip perak ialah Pasukan Sydney Dodgers dan tampil menerima gangsa Pasukan Richmond.

Bagi sukan Boling 10 pin, BruNSM tampil juara diikuti Pasukan BSSMELB 1 di tempat kedua untuk meraih perak dan gangsa jatuh kepada Pasukan X-Brisanites manakala dalam sukan Futsal pula Sydney A tampil gah dengan memperoleh emas diikuti Pasukan Brisbane A dengan perak dan Perth Claremont gangsa.

Sydney Supernova tampil juara dan meraih emas bagi sukan Bola Keranjang diikuti oleh Pasukan Wahine yang terpaksa akur dengan pingat perak dan Brisbane pula tampil dengan pingat gangsa.

Dalam sukan Badminton, Winnie meraih emas bagi perseorangan wanita diikuti Hafiizah di tempat kedua dan Sherry di tempat ketiga, sementara bagi bahagian lelaki pula dimenangi oleh Woo Chaug Huei diikuti oleh Royston Liaw di tempat kedua dan Lim Zhao Hang di tempat ketiga.

Bagi acara regu wanita pasangan Elva dan Sherry tampil juara diikuti oleh pasangan Syahirah dan Fawzana di tempat kedua dan Hafiizah dan Hafiyyah di tempat ketiga dan bagi regu lelaki Lim Zhao dan Woo Chaug Huei tampil juara diikuti oleh pasangan Wan dan Hasrul di tempat kedua dan Lincolm dan Royston Liaw di tempat ketiga.

Dalam regu campuran pasangan Royston dan Fawzana tampil juara diikuti oleh pasangan Winnie dan Benny Lim di tempat kedua dan Hafiizah dan Aizuddin di tempat ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA