Sukan Olimpik dikawal ketat

Sukan Olimpik dikawal ketat

RIO de JANEIRO, 10 Julai – Pasukan tentera Brazil menggunakan kereta perisai dan senjata berat untuk meronda pusat tumpuan pelancong seperti pantai Copacabana menjelang Sukan Olimpik bulan depan.

Ia memberi jaminan bagi sesetengah pihak apabila minggu lalu, sebilangan besar anggota polis dihantar mengawasi keselamatan di bandar raya Rio de Janeiro sebelum kejohanan bermula.

Kejadian tembakan di utara bandar raya itu menggariskan cabaran memastikan keselamatan 10,500 atlit dan 500,000 pelancong yang dijangka menghadiri temasya itu pada 5 hingga 21 Ogos ini, Sukan Olimpik pertama diadakan di Amerika Selatan.

Brazil menempatkan 85,000 anggota polis dan tentera, dua kali gandar daripada bilangan digunakan ketika Olimpik 2012 di London, dengan majoritinya di Rio dan bakinya di beberapa bandar raya yang menjadi hos perlawanan bola sepak.

Pada Sabtu, 1,500 hingga 2,000 anggota tentera dikerah ke beberapa lokasi lain seperti Plaza Maua, yang menjadi tempat melihat dan dilihat dalam bentuk bayang Muzium Tomorrow yang direka Santiago Calatrava.

Di stadium bola sepak Maracana yang popular, lokasi perasmian dan penutupan Olimpik akan diadakan, unit antipesawat diawasi tentera dilengkapi bazooka.

Keseluruhan seramai 65,000 anggota keselamatan akan ditempatkan di Rio, dengan 20,000 lagi di lima bandar raya yang menjadi hos pertandingan bola sepak. – AFP