Sukan pingpong punyai potensi besar

Sukan pingpong punyai potensi besar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Arena Pingpong di negara ini masih di peringkat awal namun menunjukkan potensi yang besar jika pemimpin sekolah melihat sukan ini sebagai satu aspek jasmani yang perlu diberikan perhatian.

Perkara itu dijelaskan oleh penggiat sukan pingpong selaku Tenaga Pengajar Kursus Pengadilan Pingpong, Anthony Liew Vun Voon di Sekolah Rendah Jalan 10 di Perpindahan Negara Lambak Kanan baru-baru ini.

“Banyak yang boleh dibangunkan apatah lagi sukan pingpong tidak memerlukan terlalu banyak sumber dan pada saya ia adalah sukan yang sangat menarik dan ia sewajarnya diperkembangkan di setiap sekolah,” tegasnya.

Menurutnya jika langkah awal sekarang diadakan, pasti ia akan membuahkan hasil dan mampu melahirkan pemain pingpong muda yang berkaliber dan boleh bersaing dalam kejohanan tempatan mahupun di luar negara.

Anthony Liew Vun Voon ketika ditemui baru-baru ini.
Anthony Liew Vun Voon ketika ditemui baru-baru ini.

Apabila ditanya mengenai harapannya kepada sukan ini, menurutnya semua pembangunan bergantung pada orang atasan untuk menilai setakat mana boleh kita dedahkan pemain di mana-mana kejohanan.

“Pihak berkenaan perlu komited untuk menyediakan sumber termasuk aspek sumber tenaga manusia, kewangan dan kemudahan dan ia boleh dilihat dalam masa lima ke 10 tahun akan datang,” jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, pembangunan tidak boleh dilihat dalam masa singkat kerana semua ini bergantung pada latihan, pendedahan dan kematangan pemain melalui sokongan dan dorongan pihak berkenaan.

Mengulas mengenai pengadilan dan pengetahuan mengenai sukan pingpong di negara ini, Anthony Liew menjelaskan pingpong merupakan salah satu sukan yang kurang popular dalam kalangan pelajar dan guru, dan sikap itu perlu dikikis.

“Guru perlu mengetahui sukan ini sebelum melihat apa yang boleh dipertingkatkan dalam kalangan pelajar kerana ia merupakan latihan mental dan fizikal yang baik dalam kalangan pelajar sebagai pemain dan kepada guru sebagai jurulatih dan pengurus mahupun pengadil dalam kejohanan yang bakal diadakan di masa akan datang,” ujar Anthony lagi kepada Media Permata.

ARTIKEL YANG SAMA