Sukan Ria Antara Syarikat ke-6 labuh tirai

Sukan Ria Antara Syarikat ke-6 labuh tirai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Sukan Ria Antara Syarikat-syarikat Edisi ke-6 melabuhkan tirainya hari ini dengan Perlawanan Akhir Bola Keranjang antara Pasukan Yuan Thong Entreprise menentang Pasukan Istana Maintenance Department sebelum acara penyampaian hadiah kepada para peserta yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Chung Hwa di Ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seti Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Penyampaian hadiah bermula dengan acara larian 10 kilometer lelaki yang diungguli Mohd Shah Azahar Abdullah Ahar dari Ben Food (B) Sdn Bhd bagi Bahagian Lelaki dan Airince Liam dari PYP Holdings Sdn Bhd bagi Bahagian Perempuan.

Bagi Sukan Boling pula Mohd Nazibnasrudin dari Baiduri Bank Berhad tampil juara Bahagian Lelaki dan Fatin Nurashikin dari Swee Wah Sdn Bhd di Bahagian Perempuan dan Penerbangan Diraja Brunei A tampil sebagai juara berkumpulan.

Gambar ramai semua pemenang pada Sukan Ria Antara Syarikat 2016 yang ditutup rasmi hari ini.
Gambar ramai semua pemenang pada Sukan Ria Antara Syarikat 2016 yang ditutup rasmi hari ini.

Pasukan BT Forwarding tampil juara kejohanan bola jaring mempertahankan kejuaraannya tahun lalu diikuti oleh Pasukan Bank Standard Chartered di tempat kedua dan Bank Baiduri di tempat ketiga.

QAF (B) Sdn Bhd pula mengungguli kejohanan futsal pada tahun ini apabila berjaya menewaskan Pasukan Bank Baiduri di tempat kedua dan Syarikat Minyak Brunei Shell di tempat ketiga.

Dalam acara badminton pula, Bahagian Lelaki diungguli oleh pasangan Hairuddin bin Mohd Yusof dan Mohd Zairul Ariffin dari QAF (B) Sdn Bhd tampil juara dan Adeline Ng dan Amalina Daud dari Darussalam Asset menguasai Bahagian Perempuan.

Dalam acara Regu Campuran Hairuddin dan Norazila dari QAF (B) Sdn Bhd tampil juara diikuti oleh Regu Campuran DST yang merangkul hadiah kedua dan ketiga kejohanan kali ini.

Dalam acara badminton kategori keempat adalah bagi berpasukan yang dikuasai oleh pemain-pemain QAF (B) Sdn Bhd yang berjaya meninggalkan Baiduri Bank Sdn Bhd di tempat kedua dan telekom Brunei Berhad di tempat Ketiga.