Sukan ria antara syarikat kembali

Sukan ria antara syarikat kembali

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Sukan Ria Antara Syarikat bakal kembali lagi dan kali ini ia memasuki edisi keenamnya yang akan bermula pada 10 April dan berakhir pada 22 Mei anjuran bersama Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama D’Sunlit Sdn Bhd.

Menurut kenyataan penganjur pada majlis sidang media sukan berkenaan di D’Sunlit Sdn Bhd, Beribi hari ini menegaskan acara sukan ini adalah platform bagi mengeratkan silaturahim antara sektor swasta melalui acara kesukanan.

Antara acara sukan yang akan ditampilkan dalam acara tahunan ini ialah seperti larian, badminton, bola keranjang, bola jaring, futsal dan boling yang juga menawarkan hadiah berupa wang tunai, piala dan trofi berserta sijil penyertaan bagi peserta dan syarikat yang diwakili.

Majlis sidang media berkenaan dihadiri oleh perwakilan dari Jabatan Buruh, D’Sunlit Sdn Bhd serta penganjur-penganjur bersama yang lain bagi menyempurnakan majlis penandatangan memorandum bersempena acara sukan yang dinanti-nantikan warga sektor swasta itu.

Acara sukan kali ini turut melibatkan beberapa buah persatuan kebangsaan termasuk Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan Brunei Darussalam, Persatuan Bola Jaring kebangsaan Brunei Darussalam, Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam dan Mega Strike Bowl Sdn Bhd.

Gambar ramai bersama ahli jawatankuasa acara sukan ria tersebut.
Gambar ramai bersama ahli jawatankuasa acara sukan ria tersebut.

Semua maklumat pendaftaran dan tarikh tutup bagi setiap sukan kini dibukakan dan akan berakhir pada 5 April bagi acara larian, 6 April bagi acara badminton dan bola keranjang dan 7 April bagi sukan boling, futsal dan bola jaring.

Setiap penyertaan, syarikat perlu menyertakan borang asal berserta gambar peserta, yuran pendaftaran dan dokumen sokongan sebagai pengesahan pekerjaan peserta di dalam syarikat masing-masing termasuk Borang Pekerjaan BUR500 bagi pekerja asing.

Sementara itu hanya tiga orang pemain import sahaja dibenarkan dalam acara bola keranjang bagi setiap pasukan, sementara mereka perlu mempunyai permit kerja yang sah daripada majikan asal masing-masing untuk turut serta dalam perlawanan nanti.

Sementara itu bagi acara futsal yang menjadi kegemaran ramai pula hanya dihadkan kepada 60 pasukan terawal sahaja dan syarikat disyorkan membuat pendaftaran awal bagi memastikan penyertaan masing-masing.

Dalam acara larian, tiga kategori akan ditampilkan antaranya kategori A (2 kilometer larian sahaja), dan kategori B (lelaki 8km) dan kategori C (perempuan 8km) pula ditukar kepada cabaran 10km.

Mereka yang menyertai acara itu akan secara tidak langsung layak ke dalam cabutan undian bertuah yang akan diadakan pada hari yang sama dengan perlawanan larian.

ARTIKEL YANG SAMA