Sukan Ria edisi ke-6 bermula

Sukan Ria edisi ke-6 bermula

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Sukan Ria Antara Syarikat edisi ke-6 secara rasminya bermula hari ini dengan acara larian yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, dengan disertai lebih 1,000 peserta.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan acara tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Muhd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam.

Turut hadir ialah timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEDN, Haji Mohd Sunadi bin Haji Buntar dan Haji Idris bin Haji Ali; Pemangku Pesuruhjaya Jabatan Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof; dan Pengarah Urusan D’Sunlit Sdn Bhd, Jackson Ting.

Acara larian telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori ‘A’ bagi larian Fun Run 2km, Kategori ‘B’ larian 10km bagi lelaki, dan Kategori ‘C’ bagi perempuan.

Kategori B dan C yang dipertandingkan menawarkan hadiah wang tunai $400, $300 dan $200 masing-masing bagi juara, naib juara dan tempat ketiga, serta trofi dan pingat. Manakala itu, syarikat-syarikat lain juga menerima sijil-sijil penyertaan mereka.

Acara larian bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Acara larian bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Tetamu kehormat juga turut serta dalam acara larian berkenaan.
Tetamu kehormat juga turut serta dalam acara larian berkenaan.

Dengan mencatat masa 38 minit 23 saat, Awang Mohd Shah Azahar menjuarai Kategori B, dan diikuti oleh Awang Mohd Nazruleffendy dengan catatan masa 40 minit 32 selaku naib juara dan Awang Mohd Nurhadi Mustafa di tempat ketiga dengan catatan masa 43 minit 36 saat.

Manakala itu, juara Kategori C pula disandang oleh Airince Liam yang mencatat masa 50 minit 15 saat, sementara itu, naib juara dan tempat ketiga, masing-masing dimenangi oleh Cecilia Macsimon dengan catatan masa selama 53 minit 49 saat, dan Herney Vivienty dengan catatan 54 minit 47 saat.

Mohd Shah Azahar, 34 tahun, dari Syarikat Ben Food (B) Sdn Bhd ketika ditemu bual Media Permata menjelaskan bahawa ini merupakan kali ketiga berturut-turut beliau menjuarai larian Sukan Ria berkenaan.

“Sebelum acara ini dimulakan, saya juga telah melakukan latihan bagi membiasakannya. Lagipun saya memang minat dalam sukan larian ini,” ujar beliau lagi.

Manakala itu, bagi Airince Liam, 48, yang mewakili Syarikat PYP Holdings Sdn Bhd, beliau mengikut larian berkenaan semata-semata untuk mendorong anaknya bergiat aktif dalam sukan larian ini juga.

Wakil dari Brunei Press juga turut serta dalam acara larian berkenaan.
Wakil dari Brunei Press juga turut serta dalam acara larian berkenaan.

“Ini merupakan kali kedua saya mengikuti acara sukan larian bagi Sukan Ria Antara Syarikat, dan pada kali pertama, saya telah beroleh tempat yang kedua.”

Sejurus selepas penyampaian hadiah kepada para pemenang, acara cabutan bertuah juga diadakan bagi semua peserta yang mengikuti larian tersebut, dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti barangan elektronik, kesihatan, baucar makanan, akaun simpanan dan seragam sukan.

Acara larian berkenaan akan diikuti dengan acara sukan lain seperti badminton, bola keranjang, futsal, bola jaring dan boling, yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

Acara tahunan berkenaan merupakan anjuran Jabatan Buruh di bawah KHEDN, dengan D’Sunlit Sdn Bhd sebagai pengurus acaranya, serta dibantu oleh Persatuan Bola Keranjang Brunei, Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei, Megastrike Bowling Sdn Bhd, Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Bola Jaring Brunei.

Untuk mengetahui lebih lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.sukanriabrunei.com, dan juga Facebook D’Sunlit di D’Sunlit Sdn Bhd dan akaun Instagram @dsunlit dan @sukanriabrunei bagi kemas kini atau hubungi Bahagian Pemasaran D’Sunlit di talian 2453666.

ARTIKEL YANG SAMA