Sukan ria eratkan silaturahim warga Jabatan Penjara

Sukan ria eratkan silaturahim warga Jabatan Penjara

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 3 April – Dalam kesempatan hari terakhir cuti penggal pertama persekolahan ini, Jabatan Penjara telah menganjurkan Sukan ria Hari Keluarga bersempena Penubuhan Jabatan Penjara ke-62 tahun di Kompleks Padang dan Balapan Pusat Latihan, Jabatan Penjara, Tutong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam bersama keluarga.

Acara dimulakan dengan senamrobik sebagai aktiviti memanaskan badan dan diikuti dengan pertandingan akhir tarik kalat seberat 780kg terkumpul seramai lapan orang penarik di antara empat buah pasukan terakhir iaitu Pasukan Kementerian Pembangunan, Chain Block ‘B’, Mega Power dan Chain Block ‘A’.

Beberapa aktiviti menarik turut dijalankan sepanjang sukan ria diadakan seperti memukul bola golf, peraduan mewarna bagi kanak-kanak, mengisi air ke dalam botol, membawa bola berhalangan, membaling bola ping pong, permainan merebut kerusi mengikut muzik dan pertandingan Strongest Men.

Haji Mohd ‘Abdoh mencuba memukul bola golf ke lubang.
Haji Mohd ‘Abdoh mencuba memukul bola golf ke lubang.
Antara aksi peserta pertandingan strongest men pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.
Antara aksi peserta pertandingan strongest men pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.

Acara juga dimeriahkan lagi dengan pameran kucing, kereta tahan lasak, Insaf Radio Amatur, bouncer untuk kanak-kanak, menunggang kuda, ATV dan pesta jualan mini.

Lebih 300 orang pegawai dan kakitangan hadir bersama keluarga mereka ke acara berkenaan yang diadakan di kawasan Kompleks Padang dan Belapan Pusat Latihan Jabatan Penjara.

Sukan ria tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Jabatan Penjara dan keluarga di samping dapat meluangkan masa bersama keluarga serta mempromosikan aktiviti-aktiviti sihat dalam kalangan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA