Sukan ria SOBD meriah

Sukan ria SOBD meriah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Persatuan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) buat kali kedua telah mengadakan acara ‘Young Athletes Ribbon Day’ di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong, hari ini.

Acara berkenaan disertai oleh para atlet peringkat kanak-kanak termasuk yang kurang upaya intelektual bersama keluarga mereka, guru-guru dan pendidik keperluan khas dari sektor kerajaan dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan.

Semasa acara berkenaan, atlet muda SOBD dan keluarga mereka dari tujuh pusat keperluan khas yang berlainan, persatuan-persatuan, sekolah dan komuniti telah dijemput bagi mengikuti aktiviti fizikal yang menyeronokkan bersama.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan acara berkenaan ialah Naib Pengerusi SOBD, Haji Jumat bin Salleh.

Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Jumat telah menekankan mengenai objektif acara berkenaan diadakan, iaitu untuk memberikan dan meningkatkan kesedaran betapa mereka tidak boleh ditinggalkan dalam menyertai kegiatan bersukan seperti ini.

Naib Pengerusi SOBD (tengah) hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Naib Pengerusi SOBD (tengah) hadir selaku tetamu kehormat majlis.

“Kita menjadikan sukan sebagai satu platform untuk mempromosi sukan secara inklusif sama ada atlet yang kurang upaya dan atlet biasa sama-sama berinteraksi dan bergiat dalam kegiatan sukan.”

Haji Jumat juga menjelaskan bahawa program berkenaan diperkenalkan kepada organisasi-organisasi dan sekolah seperti Persatuan Sindrom Down Brunei Darussalam (ABLE), La Vida Bhd, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Sekolah Rendah Freda Radin, Joyful Kids Montessori, Rising Star Child Development School, kumpulan Komuniti Atlet Muda SOBD, dan Sekolah DES sejak 2014 lagi.

“Kami sangat gembira untuk melihat bahawa semakin banyak sekolah dan pusat-pusat menggunakan sumber Young Athletes daripada Program Special Olympics Young Athletes ditaja oleh Special Olympics Antarabangsa (Amerika Syarikat) dan Toys R Us (Amerika Syarikat) dan juga sokongan tempatan yang tidak ternilai daripada Fitness Zone dan Larian Amal She Runs,” jelas Pengarah Young Athletes, Dawn Lee dalam satu kenyataan akhbar.

Para ibu bapa dan penjaga turut sama-sama memeriahkan acara sukan tersebut.
Para ibu bapa dan penjaga turut sama-sama memeriahkan acara sukan tersebut.
Aksi para atlet kanak-kanak pada  acara sukan tersebut.
Aksi para atlet kanak-kanak pada acara sukan tersebut.

SOBD juga berterima kasih kepada Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei atas sokongan mereka menyediakan tempat bagi pertandingan-pertandingan ‘Special Olympics Asia Pacific’ dan juga acara Young Athletes Ribbon Day hari ini, serta kepada seramai 120 sukarelawan dari institut-institut pengajian tinggi atas sokongan kuat mereka.

Special Olympic Young Athletes merupakan program sukan dan permainan awal bagi kanak-kanak yang berusia dua hingga tujuh tahun yang termasuk aktiviti fizikal yang membantu perkembangan minda dan fizikal mereka.

Para peserta mempelajari kemahiran sukan yang asas seperti menendang dan membaling bola serta bermain dengan yang lain, yang membantu membangunkan kemahiran motor, sosial dan kognitif yang penting. Program Young Athletes ini dijalankan di rumah-rumah, sekolah dan program komuniti di seluruh dunia.

Melalui program berkenaan, SOBD berharap untuk meneruskan usaha bagi mempromosi kesihatan dan kecergasan yang inklusif kepada kanak-kanak dari usia muda, dengan bekerjasama dengan sekolah-sekolah dan pusat-pusat serta para keluarga komuniti berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA