Sukan SEA 2017 menjadi pentas penaja

Sukan SEA 2017 menjadi pentas penaja

PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) – Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin optimis sasaran penajaan RM80 juta daripada sektor swasta untuk temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN (APG) 2017, Kuala Lumpur 2017 akan berjaya dicapai.

Beliau berkata Kuala Lumpur 2017 menjadi tumpuan syarikat yang sedang mencari peluang untuk meneroka pasaran Asia Tenggara.

“Akan ada lebih daripada 7,000 atlet Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN yang bertanding untuk lebih kurang 700 acara di 25 lokasi yang bakal disaksikan oleh sekurang-kurangnya 400 juta orang.

“Ini semestinya pendedahan yang akan membawa impak positif kepada penaja dan produk mereka,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian penajaan RM3 juta antara Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan 100Plus di Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Khairy dan Naib Presiden Kanan, Operasi Komersial F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Lai Ming Kong menyaksikan perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Ali dan Pengurus Pemasaran 100Plus Leong Wai Yin.

Khairy menjelaskan penajaan RM3 juta yang dimeterai hari ini adalah RM1 juta dalam bentuk tunai, RM1 juta produk minuman 100Plus yang akan dibekalkan kepada atlet dan baki RM1 juta dalam bentuk promosi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN dalam tempoh setahun sebelum temasya.

Mengenai senarai sukan dan acara yang akan dipertandingkan pada temasya sukan berkenaan, beliau berkata senarai tersebut akan dimuktamadkan petang ini dan dijangka diumumkan minggu depan.

ARTIKEL YANG SAMA