Sukan Tradisi sempena Pesta Kaamatan 30 Mei ini

Sukan Tradisi sempena Pesta Kaamatan 30 Mei ini

KOTA KINABALU, 27 Mei – Bilangan pelancong dan peserta dijangka meningkat pada pertandingan Sukan Tradisi sempena sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Penampang, dekat sini, pada 30 dan 31 Mei ini.

Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS), Datuk Louis Rampas berkata acara bertema ‘Keamanan dan Persahabatan’ itu akan menyaksikan 11 kategori acara sukan tradisi dipertandingkan.

Beliau berkata acara tahunan di premis Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) itu bertujuan memelihara, menggalak dan mempopularkan sukan tradisi di Sabah.

“Hadiah wang tunai berjumlah RM17,650 ditawarkan kepada pemenang dalam setiap kategori dengan masing-masing menerima antara RM50 dan RM1,200,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Menurutnya hadiah wang tunai tersebut ditaja oleh Persatuan Gusti Lengan Sabah dan Jawatankuasa Penganjur.

Louis berharap acara itu akan mengeratkan lagi hubungan dan perpaduan dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik di negeri ini.

Beliau berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman akan merasmikan sukan itu dengan demonstrasi menyumpit manakala Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahirudin akan merasmikan majlis penutupan semasa acara tarik tali.

Acara dipertandingkan ialah ‘mipulos’ (gusti lengan), ‘momolistik’ (melastik), ‘rampanau’ (jangkungan), ‘sipatu tompulalanggol’ (terompah gergasi), ‘tumutu’ (menumbuk padi) dan ‘migazat dukug’ (tarik tali).

Acara lain ialah ‘monungkava kalabau’ (menangkap kerbau dengan tali), ‘monopuk’ (menyumpit), ‘mamagandai’ (mengangkut beras), ‘mobpiri mangapui’ (menyala api) dan ‘manandus’ (melembing).

Pesta Kaamatan disambut pada 30 dan 31 Mei setiap tahun oleh masyarakat Kadazandusun di Sabah selepas musim menuai. – Bernama