Sukan UNISSA buka tirai

Sukan UNISSA buka tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Sukan Tahunan dan Hari Usrah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) 2016 membuka tirainya kelmarin dengan acara olahraga untuk lelaki yang mempertandingkan 11 pingat emas daripada tujuh acara balapan.

Membuka rasmi Sukan Tahunan dan Hari Usrah UNISSA 2016 di Padang dan Balapan, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong itu ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Acara olahraga yang telah dipertandingkan itu ialah Lari 100 meter (m), Lari 200m, Lari 400m dan Lari Berganti-ganti 4x100m. Keempat-empat acara itu telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Mahasiswa dan Kategori Pensyarah/Kakitangan Lelaki.

Tiga lagi acara tambahan yang turut dipertandingkan ialah Berjalan Pantas 400m untuk Pensyarah/Kakitangan Lelaki yang turut disertai oleh Dr. Haji Norarfan, Lari 1600m untuk Mahasiswa dan Lari Berganti-ganti 4x400m untuk Mahasiswa.

Selesai semua acara olahraga berkenaan dijalankan, Dr. Haji Norarfan seterusnya menyempurnakan pengalongan pingat kepada tiga peserta terbaik bagi setiap acara.

Aksi acara lari 4x100m pelajar ketika pergantian baton antara pelari ketiga dan terakhir.
Aksi acara lari 4x100m pelajar ketika pergantian baton antara pelari ketiga dan terakhir.

Sukan Tahunan dan Hari Usrah UNISSA 2016 akan diteruskan lagi esok, 1 Mac dengan acara berbasikal (lelaki), disusuli dengan acara olahraga (perempuan) pada 3 Mac dan kemudiannya acara futsal (lelaki) dan bola jaring (perempuan) pada 5 Mac.

Pada 7 hingga 9 Mac nanti akan diadakan acara tarik kalat (lelaki), pada 7 hingga 10 Mac pula akan dijalankan acara badminton (lelaki dan perempuan), dan pada 11 hingga 13 Mac dijadualkan berlangsung acara frisbee (lelaki dan perempuan).

Pada 13 Mac akan menyaksikan berlangsungnya acara tenis (lelaki dan perempuan), pada 14 dan 16 Mac pula bermulanya acara sepak takraw, dan pada 18 Mac akan dijalankan acara dodgeball (lelaki dan perempuan) dan boling (lelaki dan perempuan).

Acara sukan seterusnya ialah bola baling (lelaki dan perempuan) pada 19 dan 20 mac, acara paintball (lelaki dan perempuan) pada 20 Mac dan akhir sekali acara bola tampar (lelaki & perempuan) pada 22 dan 23 Mac.

ARTIKEL YANG SAMA