Sukar untuk duduki empat teratas

Sukar untuk duduki empat teratas

LONDON, 27 Dis – Pengurus Chelsea, Guus Hiddink mengakui sasaran The Blues untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris ‘sukar’ selepas terikat 2-2 dengan Watford di Stamford Bridge, malam tadi.

Dua gol Diego Costa dinafikan oleh jaringan penyerang The Hornets, Troy Deeney dan Odion Ighalo, sekali gus menyaksikan mereka sekadar berpuashati dengan satu mata.

Oscar gagal menyempurnakan sepakan penalti di lewat perlawanan, sekali gus menafikan mata penuh buat The Blues, tatkala Costa yang dilayangkan kad kuning oleh pengadil akan terlepas aksi di Old Trafford, esok.

Hiddink yang meletak sasaran untuk membantu Chelsea berada dalam kelompok empat teratas liga, menjuarai Liga Juara-Juara dan Piala FA sebelum perlawanan ‘Boxing Day’, jelas akur dengan keputusan seri itu yang meletakkan mereka kini 13 mata di belakang penghuni tangga keempat, Tottenham.

Mereka hanya dua mata di atas zon penyingkiran dan pengendali dari Belanda itu mengakui nasib seperti tidak menyebelahi mereka dalam usaha mengekalkan kedudukan di kedudukan teratas Eropah.

Guus Hiddink ketika perlawanan Chelsea menentang Watford baru-baru ini. – Reuters
Guus Hiddink ketika perlawanan Chelsea menentang Watford baru-baru ini. – Reuters

Hiddink berkata: “Ia adalah sukar. Untuk menamatkan di tangga keempat, kamu harus menang perlawanan ini dan juga bergantung kepada faktor lawan. Namun, saya mahu melihat pasukan mempamerkan keinginan mereka sehinggalah secara matematiknya, ia boleh menjadi mustahil.”

Mengulas mengenai perlawanan itu, Hiddink berkata: “Cara pemain bertindak balas terhadap dua gol itu amat baik. Namun, ia agak kurang bernasib baik buat Oscar.

“Masih ada perkara yang perlu diperbaiki, namun kami mampu meningkat. Saya tidak tahu apa yang berlaku pada awal musim, tetapi kami perlu belajar daripada kesilapan.” – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA