Sukarelawan BSP dirai

Sukarelawan BSP dirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Seramai 150 orang kakitangan Syarikat Minyak Shell Brunei Sdn Bhd (BSP) dirai dalam Majlis Penghargaan Sukarela Kakitangan BSP yang berlangsung di Kelab Rekreasi Shell Brunei (BSRC), baru-baru ini.

Hadir dan seterusnya menyampaikan sijil penghargaan ialah Pengarah Urusan BSP, Andrew Faulkner.

Para sukarelawan dari seluruh pertubuhan BSP dari pelbagai bidang kerja dan latar belakang telah menyumbangkan kira-kira 9000 jam masa mereka menerusi pelbagai kegiatan tahun ini termasuklah Program Membaca Sekolah Rendah Kuala Belait, Syarahan Tambahan ke Institusi Tertinggi, Pembersihan Pantai dan Sumbangan Keagamaan Masyarakat.

Menurut salah seorang sukarelawan, Haji Jamaludin bin Mohd Yassin menyatakan bahawa kerja sukarela merupakan minatnya dan tidak ada alasan untuk tidak mempunyai masa untuk melakukannya kerana tujuannya adalah untuk melakukan kebaikan.

Para sukarelawan BSP yang dirai bergambar ramai.
Para sukarelawan BSP yang dirai bergambar ramai.

Sementara itu, bagi Sumarny Saosu, “Saya benar-benar seronok melaksanakan kerja sukarela dan menyumbangkan masa saya untuk membantu masyarakat.”

Antara kegiatan sukarelawan yang memberi kesan positif kepada peserta ialah Program Membaca Sekolah Rendah Kuala Belait, yang mana kakitangan BSP telah bekerjasama dengan guru-guru untuk membantu para pelajar meningkatkan kemampuan bacaan mereka.

Sejak Mei tahun ini, seramai 41 orang sukarelawan BSP telah membantu guru-guru dari sembilan buah sekolah rendah di Kuala Belait untuk melaksanakan dan melengkapkan program membaca mereka yang sedia ada. Projek ini juga adalah sebagai satu lagi langkah yang diambil oleh BSP dalam meningkatkan kemampuan lebih 600 orang pelajar terutamanya mereka yang mengalami kesukaran membaca.

ARTIKEL YANG SAMA