Sukarelawan Helmet Putih terkorban

BEIRUT, 11 Mac – Pasukan penyelamat Helmet Putih berdepan kesedihan dengan kehilangan anggota wanita pertamanya semalam, selepas serangan udara ke atas bandar yang dikuasai pemberontak di wilayah Idlib, barat laut Syria, menurut kumpulan itu.

Menurutnya pekerja penyelamat Sobhiya al-Assad telah terbunuh bersama-sama beberapa orang ahli keluarganya, apabila serangan bom mengenai rumah mereka di bandar Kafr Sejna.

“Dia adalah sukarelawan Helmet Putih wanita pertama yang terkorban. Khidmatnya tidak akan dilupakan,” kata kumpulan itu.

Idlib, yang kebanyakannya dikuasai oleh para pejuang jihad dan pemberontak bersekutu kerap menghadapi serangan udara oleh kerajaan Syria sejak beberapa bulan kebelakangan.

Helmet Putih telah menyelamatkan beribu-ribu orang awam yang terperangkap di bawah runtuhan selepas serangan udara atau terperangkap akibat pertempuran di sepanjang medan konflik Syria.

Gambar serahan Helmet Putih menunjukkan beberapa orang anggotanya membantu seorang lelaki yang cedera akibat terkena serangan udara di Ghouta, pinggir Damsyik, Syria. – AP

Majoriti besar daripada 3,700 orang anggotanya adalah lelaki tetapi tidak termasuk anggota penyelamat yang terdiri daripada golongan wanita.

Kumpulan itu ditubuhkan pada tahun 2013, apabila konflik Syria hampir memasuki tahun ketiganya dan beroperasi di zon-zon pembangkang yang teruk terjejas.

Sejak ditubuhkan, lebih 200 orang anggota sukarelanya telah terbunuh dan 500 orang lagi cedera.

Moto kumpulan itu, ‘Menyelamatkan satu nyawa adalah menyelamatkan keseluruhan manusia,’ sebagaimana yang tertulis dalam kitab Al-Quran, menegaskan bahawa Helmet Putih membantu semua mangsa tanpa mengira agama.

Sebilangan anggotanya pernah menerima latihan di luar negara dan kembali mengajar rakan-rakan yang lain tentang teknik-teknik mencari dan menyelamat.

Kumpulan itu turut menerima pembiayaan daripada beberapa bilangan kerajaan termasuk Britain, Jerman dan Amerika Syarikat, turut meminta derma secara individu untuk membeli peralatan termasuklah topi keras khas mereka yang berharga AS$145 setiap satu. – AFP