Sukarelawan KUPU SB beramal di Sekolah KACA

Sukarelawan KUPU SB beramal di Sekolah KACA

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Seramai 19 orang sukarelawan dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), petang semalam, telah menjalankan aktiviti kesukarelawan di Sekolah Kanak-kanak Cacat (KACA), Kampung Kiulap.

Dalam usaha amal dan berpendidikan itu, mereka mengajar kanak-kanak KACA mengenai asas huruf Jawi, membaca, menulis dan peraduan mewarna yang disertakan dengan aktiviti menyeronokkan.

Hadir menyaksikan aktiviti itu ialah Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman yang menyampaikan penghargaan kepada sukarelawan KUPU SB yang telah memberi sumbangan daripada segi aktiviti dan usaha-usaha yang akan diadakan pada masa hadapan.

“Setakat ini, kami mempunyai 530 ahli KACA di negara ini dan memerlukan generasi muda untuk menjalankan aktiviti-aktiviti amal,” ujarnya.

Beliau juga mengongsikan beberapa aktiviti KACA seperti walkaton yang diadakan hari ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan Sukan KACA pada 24 April depan di Kuala Belait.

Haji Awang Abdul Alim menyampaikan ucapan penghargaan kepada sukarelawan KUPU SB.
Haji Awang Abdul Alim menyampaikan ucapan penghargaan kepada sukarelawan KUPU SB.
Sukarelawan KUPU SB membantu mengajar menulis huruf Jawi dan mewarna di Sekolah KACA.
Sukarelawan KUPU SB membantu mengajar menulis huruf Jawi dan mewarna di Sekolah KACA.

Menurut Pengerusi Sukarelawan KUPU SB, Dayang Nurfaezah binti Awang Jasni, lawatan ini adalah sebagai salah satu kertas kerja yang termasuk dalam kursus mereka.

“Kami memilih KACA oleh kerana kami ingin membantu dan mengajar mereka mengenai asas Islam dan juga mendedahkan mereka kepada orang ramai supaya lebih ramai sukarelawan dapat membantu dan mengajar terutama dalam pembelajaran Jawi,” tambahnya.

Antara objektif aktiviti ini diadakan untuk melihat anak-anak KACA mahir dalam bidang penulisan Jawi terutama huruf-huruf hijahiyah dan mengeja dalam bahasa Jawi supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

“Selain mengadakan aktiviti, pasukan sukarelawan mahu beramah mesra bersama murid-murid yang belajar di sekolah KACA. Ia bukan sahaja mengajar, malah pasukan sukarelawan juga mengadakan peraduan mewarna, supaya mereka lebih mahir lagi dalam bidang mewarna dan mengingatkan apa yang mereka pelajari,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA