Sukarelawan SCB beramal bersih pantai

Sukarelawan SCB beramal bersih pantai

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Sepasukan sukarelawan yang terdiri lebih daripada 20 kakitangan Bank Standard Chartered (SCB) telah meluangkan masa untuk menyertai Beach Bunch dalam kempen membersihkan Pantai Tungku, pagi tadi.

Menurut kenyataan SCB, hari ini, kempen berkenaan dianjurkan oleh pertubuhan sukarelawan bukan kerajaan Beach Bunch bersempena Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa.

Awang Rizan bin Latif, yang memimpin inisiatif Beach Bunch itu, mengongsikan bahawa usaha-usaha pembersihan yang bermula pukul 7 pagi itu menyaksikan lebih 800kg sampah dikumpulkan dan melibatkan lebih daripada 200 sukarelawan dari sekolah-sekolah dan pertubuhan lain.

Sebanyak 59 kad data mengenai jenis dan jumlah sampah yang dikumpulkan telah diisikan dan akan dihantar ke Ocean Conservancy bagi analisis data, tambahnya.

Gambar ramai kakitangan SCB yang turut serta dalam kempen tersebut.
Gambar ramai kakitangan SCB yang turut serta dalam kempen tersebut.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat SCB, Marilyn Graeme, pula berkata; “Program kesukarelawanan Standard Chartered adalah cara terbaik untuk melibatkan kakitangan kami bagi memberi balik kepada komuniti menerusi pelbagai aktiviti sama ada besar atau kecil.

“Mereka dapat rasa menjadi sebahagian daripada kumpulan lebih besar yang akhirnya akan membuat kesan positif. Pendidikan mengenai mengekalkan kebersihan alam sekitar dan mempunyai kawasan awam yang bersih adalah penting.

“Sebagai penyokong Global Goals bagi pembangunan mapan, aktiviti kesukarelawanan ini boleh membuat kesan positif ke atas kehidupan di dalam laut, di darat dan tindakan iklim,” ujarnya sambil menambah, usaha kerjasama dengan Beach Bunch adalah contoh terbaik mengenai bagaimana membentuk perkongsian bagi Global Goals.