Sukarelawan UBD berkhidmat untuk KACA

Sukarelawan UBD berkhidmat untuk KACA

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 15 Mac – Seramai 29 orang sukarelawan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini, telah menyertai Program Sehari Bersama KACA, di Pusat KACA, Tutong.

Program tersebut merupakan aktiviti khidmat masyarakat dalam Modul Melayu Islam Beraja yang diselenggarakan oleh Akademi Pengajian Brunei (APB) di mana mahasiswa-mahasiswi telah memilih Pusat KACA berkenaan sebagai lokasi aktiviti.

Sukarelawan berkenaan dibimbing oleh tutor di APB, Awang Nur Amali bin Haji Aminnuddin.

Selain daripada berkhidmat kepada masyarakat, objektif program juga menekankan aspek melahirkan sifat kerjasama dan tolong-menolong, mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa-mahasiswi dengan Pusat KACA, dan menanam semangat kesukarelawan serta menambah pengalaman mahasiswa-mahasiswi UBD.

Gambar mahasiswa dan mahasiswi UBD serta warga KACA.
Gambar mahasiswa dan mahasiswi UBD serta warga KACA.
Sukarelawan UBD membersihkan sekitar Pusat KACA.
Sukarelawan UBD membersihkan sekitar Pusat KACA.

Dalam program tersebut, pelbagai aktiviti diadakan seperti membersihkan halaman Pusat KACA, menanam pokok-pokok yang disumbangkan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar dan Rekreasi (JASTRe) dan aktiviti riadah seperti mewarna dan permainan bersama ahli-ahli KACA.

Salah seorang sukarelawan, Awang Abdul Qayum Ar-Rasyid bin Zaidi berkata, program ini sangat bermanfaat bagi menanam sifat kerjasama, meningkatkan cara berinteraksi dengan orang awam dan mengeratkan silaturahim bersama individu yang berkeperluan khas.

Menurutnya lagi, acara ini telah memberi pengalaman yang sangat berguna dan berharap untuk menyertai aktiviti sukarelawan pada masa akan datang.