Sukuk kumpulan Axiata diberikan penarafan ‘BBB’

Sukuk kumpulan Axiata diberikan penarafan ‘BBB’

SINGAPURA, 4 Mac (Bernama) – Standard & Poor’s Ratings Services (S&P’s) hari ini memberikan penarafan jangka panjang ‘BBB’ ke atas cadangan terbitan sukuk AS$1.5 bilion program sukuk pelbagai mata wang senior tidak bercagar Axiata Group Bhd.

Axiata, syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di Malaysia, merancang menggunakan keuntungan daripada terbitan sukuk itu untuk aktiviti penggabungan dan pengambilalihan serta urusan korporat secara umum.

Syarikat itu baru-baru ini mengambil alih Ncell Pvt Ltd, pengusaha mudah alih terbesar Nepal berdasarkan hasil dan penguasaan pasaran pelanggan.

Dalam satu kenyataan di sini, S&P’s berkata nisbah hutang kepada EBITDA (pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai) Axiata akan menghampiri kepada dua kali susulan pengambilalihan serta peningkatan perbelanjaan modal.

“Namun kami menjangkakan syarikat itu akan mengambil langkah bersesuaian untuk mengekalkan paras itu di bawah dua kali. Unjuran kami adalah berasaskan rekod syarikat dalam mengekalkan kedudukan kewangannya di sebalik pengambilalihan dan pelaburan sejak beberapa tahun lepas.

“Kami menjangkakan Axiata dapat mengekalkan prestasi operasi yang stabil dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang. Kami juga menjangkakan syarikat itu akan mengekalkan aliran tunai yang kukuh dan kedudukan kewangan sedia adanya dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Agensi penarafan kredit itu berkata penarafan ke atas sukuk itu tertakluk kepada semakan ke atas dokumentasi akhir terbitan.

Nota itu akan diterbitkan oleh Axiata SPV2 Bhd, unit milik penuh Axiata.

S&P’s turut mengesahkan penarafan ‘BBB+’ dengan unjuran stabil, dan penarafan skala ASEAN ‘axA+’ ke atas Axiata Group.

ARTIKEL YANG SAMA