Sultan Ibrahim cadang tubuh Bank of Johor

Sultan Ibrahim cadang tubuh Bank of Johor

JOHOR BAHARU, 14 April (Bernama) – Sultan Johor Sultan Ibrahim mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan bank sendiri bagi memudahkan rakyat membuat pinjaman perumahan.

Bank, yang dinamakan sebagai ‘Bank of Johor’, berkenaan turut diharap dapat memberi pembiayaan terhadap projek pembangunan selain membolehkan rakyat membuat simpanan tabungan dan pelaburan.

“Dengan rizab wang tunai kerajaan negeri yang mencecah RM3 bilion dan pendapatan kerajaan serta syarikat milik kerajaan negeri yang mencecah RM7.5 bilion setahun, sudah pasti mereka (kerajaan negeri) boleh menjadi pemegang saham untuk ‘Bank of Johor’ ini,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Baginda bertitah cadangan itu berikutan ramai rakyat masih tidak dapat memiliki kediaman masing-masing kerana kegagalan mendapatkan pinjaman bank.

Bagaimanapun, baginda memuji usaha kerajaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan kerana terus komited membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyampaikan titah dan merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim Jalan Bukit Timbalan Johor Baharu kelmarin. – Bernama
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyampaikan titah dan merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim Jalan Bukit Timbalan Johor Baharu kelmarin. – Bernama

“Saya juga menyambut baik kerjasama yang dihulurkan Bank Rakyat kepada Yayasan Sultan Ibrahim untuk menyediakan pembiayaan pembelian rumah bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

“Urusan pendaftaran permohonan pinjaman ini akan dibuka tidak lama lagi dan pemilihan akan dibuat oleh satu jawatankuasa khas berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan,” titah baginda.

Kemudahan pembiayaan berjumlah RM500 juta itu diumumkan Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Abdul Aziz Zainal ketika pelancaran Model Menara Bank Rakyat Johor di sini pada 23 Mac lepas.

Ia membolehkan penjawat awam dan swasta yang layak di Johor mengemukakan deposit pembelian serendah RM1 bagi tempahan rumah kos rendah dan mampu milik.

Pembiayaan juga dicadang untuk 6,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki kediaman masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA