Sultan Johor kurnia kapal terbang kepada kelab JDT

Sultan Johor kurnia kapal terbang kepada kelab JDT

JOHOR BAHARU, 2 Ogos – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sebuah kapal terbang kepada Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk kegunaan pegawai dan para pemainnya.

Pengurniaan kapal terbang jenis Gulfstream 550 itu diumumkan JDT menerusi entri terbaru dalam laman Facebook rasmi mereka, Johor Southern Tigers hari ini.

“Kapal terbang ini akan siap dan diserahkan kepada JDT pada pertengahan tahun 2017.

“Dengan kurniaan tersebut, JDT turut melakar satu lagi sejarah baharu sebagai kelab pertama tanah air yang mempunyai kemudahan pengangkutan udara sendiri. Allah Peliharakan Sultan,” kata entri tersebut.

Pengurniaan itu merupakan sebahagian usaha yang dilakukan Sultan Johor untuk memartabatkan kelab yang dimiliki anakandanya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada awal tahun ini, baginda mengurniakan tanah seluas 28 hektar pemberian kerajaan negeri kepada JDT untuk dijadikan Bandar Sukan Johor Darul Ta’zim.

Bandar Sukan itu yang dirancang di atas tanah seluas 28.3 hektar di Iskandar Puteri bakal mempunyai pelbagai kemudahan termasuk hotel, pangsapuri dan pusat membeli-belah.

Selain itu, Sultan Johor juga pernah memberikan sejumlah dana kepada pasukan itu yang antara lain bertujuan membiayai pembinaan stadium baharu (juga di Iskandar Puteri) dan mengiktiraf kejayaan JDT mengharumkan nama Johor di persada dunia melalui kemenangannya merangkul Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Oktober tahun lepas. – Bernama