Sultan Kedah mangkat

ALOR SETAR, 11 Sept – Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mangkat hari ini pada usia 89 tahun, setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Sultan berjiwa rakyat ini menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 petang, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang berita khas di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Diraja hari ini memutuskan bahawa jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit untuk memberi peluang kepada rakyat memberi penghormatan terakhir dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Ahmad Bashah berkata penghormatan untuk orang kenamaan pula bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika berkenan menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-89 di Istana Anak Bukit pada 15 Januari lepas. – Bernama

Katanya, sepanjang tiga hari bermula hari ini, bendera Kedah, bendera Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang manakala tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari.

Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan, katanya.

Beliau turut mengumumkan cuti kelepasan am untuk seluruh negeri Kedah esok tetapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berjalan seperti biasa.

Almarhum Sultan Abdul Halim turut melakar sejarah dengan menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada 21 Sept 1970 hingga 12 Sept 1975 dan 13 Dis 2011 hingga 12 Dis 2016.

Almarhum Sultan Abdul Halim begitu disenangi oleh semua, kerana cukup dikenali dengan perwatakan baik, pertuturan lembut dan merendah diri yang menjadikan baginda kesayangan rakyat Kedah.

Almarhum baginda yang kembali menaungi negeri setelah bersemayam di takhta pemerintahan negara selama lima tahun pada 12 Dis 2016, melakar sejarah tersendiri apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Ketua Negara Malaysia, sebanyak dua kali.

Pelantikan pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun hingga 20 Sept 1975. Tiga puluh enam tahun kemudian, Almarhum baginda dilantik pula sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Dis 2011 hingga 12 Dis 2016.

Pemilihan Almarhum Sultan Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dianggap istimewa kerana kitaran masa bagi seseorang Raja naik takhta sebagai Ketua Negara melalui sistem penggiliran Majlis Raja-Raja yang unik di dunia, mengambil masa panjang.

Diputerakan pada 28 Nov 1927, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Almarhum baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titian Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Almarhum baginda melanjutkan pengajian di Wadham College, Oxford, London pada 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam sebelum kembali ke tanah air setelah menamatkan pengajian pada 1955.

Almarhum Sultan Abdul Halim  dilantik sebagai Raja Muda Kedah sewaktu di United Kingdom pada 6 Ogos 1949 dan menaiki takhta pada 14 Julai 1958 berikutan kemangkatan ayahanda Almarhum baginda, Almarhum Sultan Badlishah dan ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah pada 20 Feb 1959.

Almarhum baginda berkahwin dengan Almarhum Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan kemudian menikahi Sultanah Haminah Hamidun.

Perkahwinan Almarhum baginda dengan Tuanku Bahiyah dikurniakan tiga puteri, Tengku Soraya (1961) Almarhum Tengku Sarina (diputerikan pada 1961 dan mangkat pada 1991) dan Tengku Intan Safinaz (1967).

Almarhum Sultan Abdul Halim yang merupakan pencinta alam semula jadi, mempunyai sebuah zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis burung dan binatang, termasuk kuda, kijang, landak, anak buaya tembaga, monyet dan arnab.

Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan pemerintahan, Almarhum baginda masih ada masa untuk aktif dalam sukan kegemarannya – golf, selain turut meminati sukan bola sepak dan memberi perhatian serius terhadap perkembangan pasukan negeri Kedah dan pasukan negara.

Kemangkatan Sultan Abdul Halim pastinya amat dirasai dan jasa Almarhum baginda selama memayungi negeri Kedah tetap dikenang dan disanjung tinggi oleh seluruh lapisan rakyat jelata. – Bernama