Sultan Kelantan Agong ke-15

Sultan Kelantan Agong ke-15

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara di sini hari ini.

Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, pelantikan itu berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri semua Raja dan dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Ini kali kedua Sultan Kelantan dipilih sebagai Yang di- Pertuan Agong. Sebelum ini nenda Sultan Muhammad V, Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong keenam bermula 21 Sept 1975 hingga 29 Mac 1979.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (kiri) dan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara kelmarin. – Bernama
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (kiri) dan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara kelmarin. – Bernama

Sultan Muhammad V yang kini merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis ini.

Baginda yang diputerakan pada 6 Okt 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan dekat di hati penduduk negeri ini.

Merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra, Tengku Muhammad Faris Petra, 47, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Sering membahasakan diri baginda sebagai ‘kita’ ketika bertemu dengan rakyat negeri ini, baginda sering dilihat turun padang bertemu masyarakat termasuk penduduk kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.

Baginda yang ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985 dilihat lebih gemar mengenakan jubah atau berbaju Melayu atau lebih dikenali di negeri ini sebagai ‘baju gumbang’, serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat baginda. – Bernama