Sumbang air mineral untuk bomba

Sumbang air mineral untuk bomba

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 April – Badan Perhubungan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) cawangan Daerah Belait telah menghulurkan sumbangan air minuman termasuk air mineral kepada anggota bomba yang bertugas memadam kebakaran hutan di sini.

Penyampaian sumbangan telah diadakan di Balai Bomba Kuala Belait, yang disampaikan oleh Naib Presiden NDP Daerah Belait, Haji Metali bin Haji Ibrahim kepada Pegawai Mengetuai Balai, Penolong Superintenden Awang Zulkefli bin Awang Alimas.

Kunjungan rombongan Badan Perhubungan NDP Daerah Belait ke Balai Bomba Kuala Belait telah dialu-alukan oleh Penolong Superintenden Awang Zulkefli serta anggota bomba lainnya.

Dalam ucapan ringkas, Penolong Superintenden Awang Zulkefli telah merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan rombongan NDP, selain turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak-pihak penyumbang yang lain sebelum ini sejak mereka mengadakan operasi memadam kebakaran hutan yang berlaku di daerah ini.

Haji Metali menyerahkan sumbangan berbentuk air minuman kepada Penolong Superintenden Awang Zulkefli di Balai Bomba Kuala Belait.
Haji Metali menyerahkan sumbangan berbentuk air minuman kepada Penolong Superintenden Awang Zulkefli di Balai Bomba Kuala Belait.

Menurutnya, operasi sepadu memadam kebakaran hutan telah bermula sejak 23 Februari lalu semasa berlakunya kebakaran hutan di beberapa buah kawasan termasuk di kawasan Jalan Bypass dan seterusnya turut menjejaskan kawasan Jalan Rasau Kampung Sungai Teraban.

“Punca kebakaran dipercayai daripada faktor perbuatan manusia, yang membakar secara terbuka di kawasan terbabit, kerana mahu memulakan tanaman di sana, dan sehubungan itu kami sering menyeru kepada orang ramai supaya mengelakkan daripada melakukan pembakaran, demi mengelakkan berlakunya kebakaran,” katanya.

Rombongan Badan Perhubungan NDP Daerah Belait turut disertai oleh Setiausaha Agung NDP, Ketua Himpunan Wanita Pusat, Dayang Kartini binti Abdul Manap, anggota Jabatan Setiausaha Agung (JASA) dan ahli-ahli Majlis Eksekutif Ranting Lumut serta ahli-ahli jawatankuasa Badan Perhubungan Daerah Belait sendiri dengan diketuai oleh Haji Metali.

ARTIKEL YANG SAMA