Sumbang Kad SIM percuma

Sumbang Kad SIM percuma

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 8 Mei – Dalam usaha membantu menghubungi ahli keluarga atau saudara-mara yang terjejas dalam kejadian gempa bumi di Nepal baru-baru ini, British Garrison Seria telah menerima sejumlah 1,000 keping kad SIM sumbangan daripada Syarikat Progresif Cellular.

Kad SIM tersebut adalah untuk membolehkan membuat panggilan secara percuma ke Nepal, dan ia boleh didapati di Unit Pusat Kebajikan Garrison dekat sini dengan menunjukkan dokumen perjalanan pasport bagi mereka yang berhajat mendapatkannya.

Sumbangan tersebut dihasratkan dapat membantu anggota tentera Garrison Seria dan keluarga mereka yang berada di negara ini, mendapatkan maklumat tentang keluarga mereka di Nepal yang telah ditimpa tragedi bencana alam dua minggu lalu.

Pegawai Media Garrison, Kapten Mike James, hari ini, memberitahu, kad SIM berkenaan boleh didapatkan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai keluarga terdekat yang terjejas dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, setakat ini sejumlah 460 kad telah diedarkan, kebanyakannya kepada kakitangan British Garison, sejak sumbangan diterima pada 30 April lalu.

Unit Pusat Kebajikan Garrison mendapat sokongan padu daripada anggota Garrison serta ahli keluarga dan orang ramai bagi mengumpulkan barangan bantuan untuk dihantar ke Nepal.
Unit Pusat Kebajikan Garrison mendapat sokongan padu daripada anggota Garrison serta ahli keluarga dan orang ramai bagi mengumpulkan barangan bantuan untuk dihantar ke Nepal.
Bekerjasama mengasingkan pakaian dan barangan lainnya untuk dibungkus sebelum dihantar ke Nepal.
Bekerjasama mengasingkan pakaian dan barangan lainnya untuk dibungkus sebelum dihantar ke Nepal.

Kapten Mike melahirkan rasa penghargaan bagi mewakili British Garrison, dan berkata, “kami sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kemurahan hati Syarikat Progresif Cellular yang telah menyumbangkan kad SIM, dan dengan itu dapat membantu mengurangkan rasa sedih dan resah anggota kami dan keluarga di sini, kerana boleh berhubung langsung dengan ahli keluarga yang tersayang di Nepal”.

Sementara itu, sehari selepas kejadian gempa bumi menimpa bumi Kathmandu, Nepal, pada 25 April lalu, pasukan daripada Garrison Seria telah bekerjasama dengan komiti Restoran Istana Gurkha untuk membuat kutipan berbagai-bagai bekalan bantuan untuk dihantar ke Nepal.

Usaha itu turut mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada orang ramai di negara ini, sehingga mereka berjaya mengumpulkan sejumlah kira-kira 15,000 barangan pada minggu pertama yang lalu.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga telah menubuhkan tabung kemanusiaan, dengan sumbangan kewangan dibukakan sehingga 31 Julai ini, dan kotak-kotak dana diletakkan di masjid-masjid, sekolah dan bangunan-bangunan komersil serta kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA