Sumbang tenaga dalam aktiviti kebajikan

Sumbang tenaga dalam aktiviti kebajikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Para pesara dari Kementerian Pertahanan diharap akan terus memberikan sumbangan kepada negara dengan melibatkan diri sebagai penyumbang idea serta tenaga kepimpinan dalam memperkasakan kegiatan-kegiatan kebajikan seperti yang dianjurkan oleh majlis perundingan kampung atau badan-badan sukarelawan.

Harapan itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil dan Cenderahati Pesara-pesara bagi Tempoh 1 Oktober 2014 hingga 31 Disember 2015 serta Penghargaan Kepada Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam Tahun 2015, Kementerian Pertahanan yang berlangsung di Dewan Wira Seni, Bangunan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Bolkiah Garison, hari ini.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat supaya tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata dan berharap supaya mereka ini akan dapat melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawan seperti dalam aktiviti yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan yang dilihat semakin meningkat peranan serta kepentingannya.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dengan dipimpin oleh Pegawai Ugama Kanan, Kementerian Pertahanan, Awang Ruslan bin Haji Sulaiman, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Haji Rosli bin Haji Batang dan terjemahannya dibacakan oleh Haji Ariffin bin Tuah daripada Bahagian Ugama, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan sijil dan cenderahati kepada Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Azmansham.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan sijil dan cenderahati kepada Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Azmansham.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan sijil dan cenderahati kepada Datin Paduka Haji Suriyah.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan sijil dan cenderahati kepada Datin Paduka Haji Suriyah.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Di antara pesara dan penerima yang diraikan pada majlis itu.
Di antara pesara dan penerima yang diraikan pada majlis itu.

Seramai 86 orang pesara terdiri daripada 38 orang lelaki dan 48 orang wanita yang menamatkan perkhidmatan mereka pada 1 Oktober 2014 hingga 31 Disember 2015 telah diraikan pada majlis tersebut.

Sementara itu, tiga orang penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Kementerian Pertahanan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Divisyen III, IV dan V turut menerima sijil dan cenderahati mereka.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz telah menyempurnakan penyampaian sijil-sijil dan cenderahati kepada para pesara yang diraikan termasuk kepada mantan Setiausaha Tetap (Pembangunan dan Dasar Pertahanan) di Kementerian Pertahanan, Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Azmansham bin Pengiran Haji Mohammad dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar serta sijil dan cenderahati kepada para penerima anugerah pekerja cemerlang Perkhidmatan Awam 2015 Kementerian Pertahanan.

Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Kementerian Pertahanan, Awang Nor Aidil bin Haji Abu Bakar dalam kata alu-aluannya berkata, majlis itu dihasratkan bagi mengenang jasa dan memberi penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan yang telah bersara atas bakti serta sumbangan yang telah dicurahkan selama bertugas di Kementerian Pertahanan.

Manakala itu, beliau berkata, penghargaan yang diberikan kepada para penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam diharap akan menjadi pembakar semangat dan contoh oleh para kakitangan kementerian tersebut untuk memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik.

Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Eksekutif Pertahanan, pemerintah-pemerintah tentera, komandan, para pengarah, pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga mereka yang diraikan pada majlis berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA