Sumbangan besar PGGMB dihargai

Sumbangan besar PGGMB dihargai

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Persatuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), sejak penubuhannya, telah memberi sumbangan besar kepada negara dalam sama-sama memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi setanding dengan institusi pendidikan kerajaan dan swasta yang lain.

“Sekolah PGGMB khususnya di cawangan Sungai Akar telah mampu mempertahankan statistik pencapaian 100 peratus lulus atau 98 peratus ke atas dalam peperiksaan PSR lebih kurang 36 tahun berturut-turut sejak tahun 1980 hingga 2015.”

Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid menambah, pencapaian ini tidak mudah diperolehi tanpa adanya usaha dan kerjasama khusus guru sebagai pendidik yang memberikan bimbingan sempurna dan penuh dedikasi.

“Pelaksanaan beberapa kegiatan di peringkat dalam dan luar negara merupakan usaha PGGMB dalam meningkatkan profesion perguruan dan perpaduan dalam kalangan guru-guru Melayu.

Para ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB mengabadikan kenangan bersama tetamu kehormat majlis.
Para ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB mengabadikan kenangan bersama tetamu kehormat majlis.
Haji Harun merasmikan buku kenang-kenangan PGGMB.
Haji Harun merasmikan buku kenang-kenangan PGGMB.

“Peranan dan sumbangan PGGMB kepada golongan guru dan masyarakat Melayu perlu didedahkan supaya golongan generasi baru hari ini mengetahui dengan lebih banyak lagi mengenai hal ehwal kebajikan, perekonomian dan kemasyarakatan yang disediakan oleh PGGMB,” ujar beliau lagi ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-66 bagi sesi 2015/2016 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB Kampung Sungai Akar, hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau lagi, seiring dengan usia penubuhannya yang sudah bertapak lama di negara ini, PGGMB di harap akan terus berjuang dan sentiasa mempersiapkan diri secara fizikal dan mental untuk terus memberikan sumbangan kepada negara sama ada dari segi pendidikan, perekonomian, kemasyarakatan dan lainnya.

“PGGMB juga diharap akan dapat berjalan dengan maju bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035 iaitu menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang dikenali di seluruh dunia dengan rakyat berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berjaya menjelang 2035,” tambahnya.

Mesyuarat berkenaan dihadiri lebih 200 orang ahli perwakilan PGGMB mewakili 15 buah cawangan di seluruh negara.

Pada mesyuarat itu, Haji Harun turut melancarkan buku kenang-kenangan PGGMB yang bertajuk ‘Kerana Mu PGGMB Saya Menulis’ yang merupakan hasil tulisan Haji Antin bin Ahad. Buku setebal 233 muka surat itu memaparkan tiga era perkembangan PGGMB sejak ditubuhkan lebih 75 tahun lalu dan mencatat sejarah penubuhan dan perjuangan PGGMB seterusnya perkembangan semasa dalam hal ehwal ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, keagamaan dan penyertaan PGGMB di peringkat serantau dan antarabangsa.

Agenda utama mesyuarat tahunan perwakilan itu antaranya menyemak dan mengesahkan Minit Mesyuarat Agung Perwakilan ke-65 bagi sesi 2014-2015 serta pembentangan laporan tahunan dan penyata kewangan bagi tahun 2015-2016 yang dibentangkan oleh Setiausaha Kewangan PGGMB.

Selain itu, mesyuarat juga membincangkan laporan kemajuan yang dicapai oleh sekolah-sekolah PGGMB. Mesyuarat berkenaan turut mendengarkan pengumuman keputusan pemilihan umum ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB bagi sesi 2016-2019.

ARTIKEL YANG SAMA