Sumbangan ekonomi digital disasar meningkat 20%

Sumbangan ekonomi digital disasar meningkat 20%

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) – Malaysia menyasarkan sumbangan ekonomi digital yang berasaskan teknologi pengkomputeran digital, meningkat kepada 20 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 berbanding 17 peratus pada 2014.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata perkembangan itu akan didorong oleh penggunaan ekonomi digital yang lebih meluas dalam kalangan sektor awam dan swasta.

“Ekonomi digital semakin penting dalam era globalisasi. Ia akan menembusi semua sektor dan menjadi elemen penting,” katanya selepas menghadiri seminar Laporan Pembangunan Bank Dunia 2016: Dividen Digital, hari ini.

Beliau yang juga antara ahli panel seminar itu, berkata sektor awam juga boleh memanfaatkan teknologi digital sebagai medium perkhidmatan bagi memudahkan urusan orang ramai dengan agensi kerajaan.

Bagi sektor swasta, banyak perancangan telah dibuat oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) untuk memastikan keterangkuman digital bagi golongan B40 iaitu kelompok 40 peratus penduduk pendapatan terendah di negara ini, katanya.

Mohd Irwan turut menyifatkan ekonomi digital sebagai langkah ke hadapan yang turut digunakan secara meluas di negara-negara maju.

Malah, Malaysia juga tidak terkecuali dan banyak perubahan yang berlaku memerlukan elemen digital berkenaan.

“Banyak usahawan muda muncul menerusi syarikat permulaan yang menggunakan teknologi digital,” katanya.

Jelasnya, ini berikutan kelebihan teknologi digital yang memerlukan pelaburan rendah namun mampu memberi pulangan berlipat kali ganda.

“Inilah satu sumbangan ataupun kesan pengganda kepada ekonomi masa depan,” tambahnya.

Sementara itu, Laporan Bank Dunia menjelaskan perkembangan teknologi dividen digital serta manfaatnya terhadap ekonomi dunia.

Dokumen itu turut menekankan keperluan bagi strategi pembangunan digital yang lebih meluas berbanding strategi teknologi maklumat serta pengkomputeran selain kepentingan mewujudkan persekitaran sewajarnya bagi perkembangan teknologi.

ARTIKEL YANG SAMA