Sumbangan komputer riba untuk Pusat Ehsan

Sumbangan komputer riba untuk Pusat Ehsan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Dalam usaha membantu masyarakat dan badan-badan amal, Politeknik Brunei melalui Program 3P menyerahkan sumbangan BIBD At-Tamwil berupa satu unit komputer riba dan buku-buku untuk Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, di Kampung Bengkurong hari ini.

Sumbangan diserahkan oleh Pemangku Ketua Pusat Perkembangan dan Inovasi Pelajar Politeknik Brunei, Awang Johari bin Haji Latif kepada Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab.

Program 3P yang bermaksud Pelajar Politeknik Penyayang merupakan modul pengayaan Politeknik Brunei di bawah teras tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik bagi membentuk pelajar menjadi individu prihatin, berkeperibadian terpuji dan berakhlak mulia.

Dato Paduka Haji Mohd Alimin (kiri) menerima sumbangan komputer riba di bawah program 3P daripada Awang Johari (kanan).
Dato Paduka Haji Mohd Alimin (kiri) menerima sumbangan komputer riba di bawah program 3P daripada Awang Johari (kanan).

Melalui program ini, Politeknik Brunei berharap dapat merealisasikan visi dan misinya untuk memperlengkapkan graduan menjadi modal insan yang bukan sahaja berkemahiran, berdaya saing, malah berakhlak mulia.

Menurut Pemangku Penolong Ketua Pusat Perkembangan Pelajar dan Inovasi Politeknik, Haji Ehwan bin Haji Juned, setiap hari dalam seminggu, tujuh orang sukarelawan di bawah program itu akan mengunjungi Pusat Ehsan Bengkurong dan Kuala Belait bagi membantu dalam penjagaan dan menjadi tenaga pengajar.

Program itu juga disokong tiga institusi kewangan di negara ini iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), BIBD At-Tamwil dan Maybank yang akan menyumbangkan peralatan mengajar dan bantuan kewangan kepada Pusat Ehsan melalui program itu.