Sumbangan Malbatt 850-3 jadi “pengikat” hubungan dengan masyarakat Lubnan

Sumbangan Malbatt 850-3 jadi “pengikat” hubungan dengan masyarakat Lubnan

PORT DICKSON, 3 Okt – Perkhidmatan perubatan asas dan kejuruteraan yang disumbangkan pasukan pengaman Malaysia (Malbatt) menjadi ‘pengikat’ yang mendorong masyarakat Lubnan menerima dengan baik kehadiran pasukan pengaman Malaysia.

Perkara itu dikongsi Kolonel Riezal Arif Ismail selaku Komander pasukan Malbatt 850-3 yang memulakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) pada 15 Sept 2015 selama setahun bersama 850 pegawai dan anggota termasuk 21 pegawai dan anggota wanita.

Beliau ditemui selepas majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa Bersatu (PNBB) Malbatt 850-3 yang disempurnakan Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Fadzil Mokhtar.

Penganugerahan Pingat PNBB adalah bagi mengiktiraf kejayaan pasukan ini semasa menjalankan misi Unifil di bawah Panji-panji PBB di Lubnan yang bermula pada 15 Sept 2015 dan berakhir pada 16 Sept lalu.

Menurut Riezal, selaku Komander, tugasnya bukan hanya perlu sentiasa bersiap siaga dalam berhadapan situasi yang tidak menentu tetapi tahap keselamatan pasukan yang diketuainya itu turut menjadi amanat dan tanggungjawab yang utama dalam melaksanakan tugas.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Fadzil Mokhtar (dua,kiri) memakaikan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada Mejar Faridah Ahmad (dua,kanan) sempena Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat PNBB MALBATT850-3 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat kelmarin. –Bernama
Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Fadzil Mokhtar (dua,kiri) memakaikan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada Mejar Faridah Ahmad (dua,kanan) sempena Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat PNBB MALBATT850-3 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat kelmarin. –Bernama

“Kawasan Selatan Lubnan adalah merupakan kawasan pasca perang maka perkhidmatan asas seperti persekolahan, kesihatan adalah berada pada tahap yang agak daif.

“Malbatt dengan kemampuan kejuruteraan dan perubatan yang ada telah dapat memberikan perkhidmatan asas kepada penduduk setempat sehingga meyakinkan mereka (masyarakat setempat) bahawa pasukan Malbatt merupakan pasukan yang memberi perlindungan kepada mereka.

“Antaranya kita baik pulih sekolah, merawat penduduk setempat dan memberikan bekalan perubatan asas,” katanya Riezal berkata atas faktor itu jugalah yang telah membentuk kerjasama pasukan dengan penduduk tempatan yang turut menentukan misi ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Kami bekerjasama dengan penduduk untuk melaksanakan operasi pengaman di mana mereka menjadi rakan dan kita menjadi pemudah cara untuk melaksanakan tugas sehingga kawasan tanggungjawab Malbatt adalah kawasan paling aman di Selatan Lubnan.

“Dari segi bekalan perubatan, ia dilaksanakan melalui kemampuan Projek Jiwa Murni dengan bekalan perubatan daripada Malaysia menjadi sumbang bakti kita kepada rakyat Lubnan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA