Sumbangan menceriakan yang susah

Sumbangan menceriakan yang susah

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 29 Jun – Golongan yang memerlukan di negara ini terus mendapat perhatian dan keprihatinan daripada pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), yang mana kegiatan sumbangan amal bulan Ramadan diteruskan bagi Daerah Tutong dengan sumbangan disampaikan kepada empat buah keluarga.

Para penerima terdiri daripada orang-orang susah dan Orang Berkeperluan Khas termasuk seorang pelatih Pusat Bahagia Daerah Tutong dengan penyampaian sumbangan diadakan di rumah masing-masing, hari ini.

Hadir untuk mengetuai rombongan dan menyampaikan sumbangan kepada para penerima ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut serta dalam rombongan berkenaan ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, Setiausaha Tetap di KKBS, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat serta ketua-ketua jabatan dan para pengarah di KKBS.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair serta rombongan memulakan acara dengan berkunjung ke rumah Awang Mahmud bin Haji Mohamad / Haji Mohaned, 48, di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Tutong.

pg03_150630_a

Yang Berhormat Pehin beramah-mesra dan menghulurkan bantuan kepada Awang Mahmud.
Yang Berhormat Pehin beramah-mesra dan menghulurkan bantuan kepada Awang Mahmud.
Datin Paduka Hajah Adina menyampaikan sumbangan kepada Dayang Fatimah.
Datin Paduka Hajah Adina menyampaikan sumbangan kepada Dayang Fatimah.

Beliau mempunyai lapan orang anak dan menerima bantuan sejumlah $260 sebulan, elaun Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak $250 serta pencen pesara $635.

Rombongan kemudian berkunjung ke rumah Dayang Nurul Nazwa binti Abdul Ghani, 24, juga di RPN Bukit Beruang, yang mana beliau merupakan seorang pelatih di Pusat Bahagia Daerah Tutong dan menerima elaun $40 sebulan.

Beliau merupakan anak pertama daripada tiga orang adik-beradik yang mana ayahnya bekerja dengan Jabatan Kerja Raya manakala ibunya pula seorang suri rumah tangga.

Seterusnya, rombongan berkunjung ke rumah Dayang Fatimah binti Burut iaitu seorang janda berusia 52 tahun yang menerima bantuan berjumlah $200 sebulan dan mempunyai lapan orang anak serta tinggal di rumah sendiri yang dibina oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Sengkarai Tutong.

Beliau dengan terharu menyatakan perasaan syukur serta gembira dengan bantuan yang dihulurkan terutama kepada Yang Berhormat Pehin dan Datin Paduka Hajah Adina yang berkesudian berkunjung ke rumahnya dan menyampaikan sumbangan berkenaan yang setentunya meringankan lagi bebanan dengan kehadiran Hari Raya Aidilfitri yang tidak lama lagi.

Destinasi terakhir rombongan adalah ke rumah Awang Mohammad Johari bin Mohd Rosli, 59, di Kampung Luagan Dudok, Tutong di mana beliau menerima elaun OKU dan mempunyai seorang anak serta tinggal di rumah sendiri.

Semasa kunjungan ke rumah-rumah berkenaan, Yang Berhormat Pehin Haji Hazair telah menyerahkan sumbangan berupa catuan makanan asasi dan hamper Hari Raya bagi membantu penerima dalam persediaan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri nanti.

Beliau juga berpeluang untuk beramah-mesra dengan para penerima serta memberikan khidmat nasihat dan kata-kata galakan untuk mereka.

Yang Berhormat Pehin dalam kunjungan itu turut menasihati kepada anak-anak beberapa orang penerima bantuan yang belum mempunyai pekerjaan untuk merebut peluang meningkatkan kemahiran mereka dengan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan di Pusat Pembangunan Belia (PPB).

Beliau percaya dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh semasa latihan mereka itu nanti, akan membuka pelbagai peluang pekerjaan bagi mereka di mana mereka mampu untuk membantu meringankan bebanan keluarga masing-masing.

Yang Berhormat Pehin juga menyatakan bahawa mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan di PPB merupakan salah satu hala tuju bagi para pelatih untuk mempersiapkan diri serta menjadikan mereka lebih berkemahiran dan marketable di pasaran pekerjaan tempatan.

Sementara itu, para penerima bantuan menyatakan perasaan amat berbesar hati dan berterima kasih di atas segala bantuan serta pertolongan yang diberikan kepada mereka sekeluarga dalam meringankan bebanan.

Pada masa yang sama, mereka juga amat tabah menerima segala dugaan yang menimpa dan percaya bahawa dengan ketekunan serta keinginan yang mendalam mampu untuk memperbaiki kehidupan keluarga masing-masing pada masa hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA