Sumbangan pakaian bantu 30 keluarga

Sumbangan pakaian bantu 30 keluarga

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 13 Jun – Kira-kira 30 buah keluarga kurang berkemampuan yang juga merupakan saudara-saudara baru di Daerah Tutong telah menerima sumbangan berupa pakaian melalui Projek Indahnya Berbagi di Bulan Mulia anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri.

Projek amal yang bertujuan untuk mengagihkan pakaian-pakaian kepada Saudara-saudara Baru yang kurang berkemampuan di bawah Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) ini telah diadakan di Dewan PESATU, Kampung Lubok Pulau, Tutong, petang kelmarin.

Tujuan projek ini adalah untuk membantu serta meringankan beban saudara-saudara baru kurang berkemampuan yang terdiri daripada ibu tunggal yang tidak mempunyai pendapatan tetap, anak-anak yatim dan keluarga yang tidak berkemampuan supaya akan dapat merasakan nikmatnya menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Lebih 20 kotak berisi pakaian-pakaian termasuk baju kurung, cara Melayu dan tudung diserahkan oleh Setiausaha MPK RPN Kampung Panchor Mengkubau, Awang Bolhassan bin Haji Abu Bakar kepada Yang Di-Pertua PESATU, Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat.

Dengan adanya sumbangan itu, ahli-ahli Jawatankuasa MPK RPN Kampung Panchor Mengkubau berharap, saudara-saudara baru tidak akan merasa tersisih daripada masyarakat terutama dalam menyambut hari lebaran yang akan datang.

Gambar ramai ahli-ahli persatuan.
Gambar ramai ahli-ahli persatuan.
Penerima-penerima sumbangan pakaian semasa memilih pakaian.
Penerima-penerima sumbangan pakaian semasa memilih pakaian.

Salah seorang ibu tunggal di bawah PESATU yang turut menerima sumbangan pakaian itu, Dayang Juliana binti Mohd Raimie melahirkan perasaan amat berbesar hati dan terharu atas sumbangan yang diberikan buat pertama kalinya.

Suami Dayang Juliana telah pun meninggal dunia sejak dua tahun lalu dengan meninggalkan dua orang anak.

Menurut Dayang Juliana, beliau yang tidak mempunyai pekerjaan itu hanya mengharapkan bantuan anak-anak yatim untuk menyara anaknya dan bantuan dari Pusat Dakwah Islamiah bagi menampung kehidupan mereka.

Beliau berharap sambutan raya pada tahun ini akan memberi makna kepada mereka terutama anak-anaknya yang akan dapat menyambut Hari Raya bersama ahli-ahli keluarga dan kawan-kawan mereka lain.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada MPK RPN Kampung Panchor Mengkubau yang berkesudian mendermakan pakaian kepada mereka dan mendoakan agar jasa baik mereka dibalas oleh Allah S.W.T

ARTIKEL YANG SAMA