Sumbangan sektor pertanian dipertingkat

Sumbangan sektor pertanian dipertingkat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Negara Brunei Darussalam terus cenderung untuk meningkatkan lagi sumbangan sektor pertanian kepada pendapatan negara ke arah meneroka peluang dan hala tuju masa depan sektor pertanian negara yang lebih terbuka.

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer semasa berucap pada perasmian Bengkel Memudahkan Pembangunan Perniagaan Agri di Brunei Darussalam yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba, hari ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Dalam majlis perasmian bengkel tersebut, TYT Todd Mercer menjelaskan Majlis Australia-ASEAN (AAC) telah dilancarkan pada 2015 oleh Menteri Luar Australia, Julie Bishop dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran, persefahaman dan hubungan di antara penduduk serta institusi-institusi di Australia dan negara-negara Asia Tenggara termasuk Negara Brunei Darussalam.

Projek-projek yang dibiayai oleh majlis itu, jelasnya lagi, merangkumi pelbagai bidang termasuk seni, memudahkan perkongsian maklumat bagi bantuan bencana dan integrasi kewangan serta program-program menyokong penyertaan wanita dalam sukan di peringkat elit.

TYT Todd Mercer dan Dr. Haji Abdul Manaf semasa menghadiri bengkel tersebut.
TYT Todd Mercer dan Dr. Haji Abdul Manaf semasa menghadiri bengkel tersebut.
TYT Todd Mercer semasa berucap pada Bengkel Memudahkan Pembangunan Perniagaan Agri di Brunei Darussalam di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba, semalam.
TYT Todd Mercer semasa berucap pada Bengkel Memudahkan Pembangunan Perniagaan Agri di Brunei Darussalam di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba, semalam.

Bengkel yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 20 April itu dikendalikan oleh sekumpulan tiga orang pakar Australia dari University of Western Australia, Profesor Peter Batt, Dr. Nazrul Islam dan Dr. Amin Mugera dan disertai oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agri Makanan, Jabatan Perhutanan, Universiti Brunei Darussalam dan wakil-wakil sektor swasta yang terlibat dalam bidang pertanian dan perniagaan agri.

Kumpulan pakar dari UWA itu turut mengadakan lawatan ke ladang-ladang dan perniagaan agri Brunei untuk melihat sendiri dengan lebih dekat amalan dan proses pertanian di Brunei.

Selain itu, mereka juga akan mengadakan taklimat mengenai sekuriti makanan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh kerajaan di seluruh dunia dalam memastikan sumber manakan yang mencukupi untuk semua dalam suasana pertumbuhan penduduk dan sumber berkurangan serta perubahan iklim di UBD.

TYT Todd Mercer dalam pada itu berharap penyertaan tiga orang pakar dari Australia semasa bengkel itu akan membantu untuk memberikan pendedahan dan pandangan mengenai hala tuju masa depan sektor pertanian Brunei.

ACC dan Suruhanjaya Tinggi Australia, jelasnya, juga akan terus menyokong usaha University of Western Australia dalam pengendalian bengkel itu bersama-sama Jabatan Pertanian dan Agri Makanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, di mana hubungan antara komuniti akademik Australia dengan pihak-pihak yang berkepentingan industri pertanian Brunei diharap akan terus berkekalan. Ia juga merupakan kegiatan pertama ACC di Brunei.

Selain memberikan pendedahan kepada pelbagai topik perbincangan termasuk kaedah untuk meningkatkan produktiviti, menambahkan nilai dengan memahami pelanggan serta menggunakan teknologi pertanian, bengkel juga dihasratkan dapat menyumbang kepada perkembangan sebuah rangka kerja berasaskan sistem yang holistik yang menyokong pembangunan perniagaan agri Brunei selaras dengan agenda negara untuk mempelbagaikan ekonomi.