Sumbangan terus dihulurkan

Sumbangan terus dihulurkan

Oleh Sim Y. H., Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Golongan yang memerlukan termasuk anak-anak yatim di negara ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda dengan menghulurkan sumbangan-sumbangan bagi mengurangkan beban mereka di bulan Ramadan ini dan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Pihak sekolah adalah antara yang tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan hari ini ialah Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) di mana seramai 29 orang anak yatim menerima sumbangan daripada pihak sekolah berkenaan.

Hadir menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Pengetua STPRI, Hajah Susilawati binti DP Haji Muhammad.

Menurut pengetua sekolah, acara kebajikan ini bertujuan untuk menggembirakan anak-anak yatim agar mereka tidak berasa tersisih dalam masyarakat.

Di samping itu, ia juga untuk mengasuh sikap kasih sayang dan saling membantu serta menolong mereka yang memerlukan bantuan, serta mendidik warga STPRI supaya menanamkan perasaan simpati dalam diri sendiri dan menimbulkan perasaan belas kasihan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Hajah Susilawati menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim yang berdekatan di STPRI.
Hajah Susilawati menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim yang berdekatan di STPRI.

Majlis juga diselajurkan dengan majlis bertahlil dan bacaan Doa Arwah yang dipimpin oleh Awang Mohd Khairol Azami bin Haji Mohd Japar.

Sementara itu, Sekolah IQRA pula telah meraikan seramai 54 orang anak yatim dan 32 orang ibu tunggal dalam majlis yang berlangsung di sekolah berkenaan.

Pada majlis itu, anak-anak yatim menerima kantung hadiah Hari Raya dan derma, yang disampaikan oleh Timbalan Presiden IQRA, Haji Mislee bin Haji Abdullah dan Pengurus Firoz Jaya, Firoz Khan, manakala itu, ibu-ibu tunggal pula menerima sumbangan derma dan hamper yang disampaikan oleh ahli Jawatankuasa IQRA.

Acara ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan IQRA dalam bulan Ramadan yang bertujuan untuk meringankan beban ibu tunggal seterusnya berkongsi kegembiraan dengan anak-anak yatim pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Salah seorang anak yatim menerima sumbangan daripada Sekolah IQRA dan Syarikat Firoz Jaya.
Salah seorang anak yatim menerima sumbangan daripada Sekolah IQRA dan Syarikat Firoz Jaya.

Sumbangan derma itu adalah daripada pihak sekolah dan syarikat swasta serta orang perseorangan yang prihatin terhadap golongan yang memerlukan.

Terdahulu, majlis telah diserikan dengan persembahan tausyeh oleh murid-murid Tahun 4 hingga 6 Sekolah Rendah IQRA dengan tajuk ‘Ya Rasulullah’.

Acara diteruskan dengan bacaan tahlil bagi mengenang yang sudah pergi dan bacaan doa arwah sebelum majlis berbuka puasa beramai-ramai.

Manakala itu, Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, Kluster 4 pula menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis khatam Al-Quran dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim serta meraikan saudara baru yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.

Dayang Sarimah menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok.
Dayang Sarimah menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok.

Hadir pada majlis yang merupakan salah satu projek tahunan sekolah itu, ialah Guru Besar sekolah, Dayang Sarimah binti Haji Mina, Pengerusi Majlis Dayangku Hajah Meriam binti Pengiran Haji Puan, guru-guru kanan dan guru-guru sekolah berkenaan.

Selepas majlis khatam, Dayang Sarimah menyampaikan sumbangan derma kepada empat orang anak yatim dan meraikan tiga orang saudara baru yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah berkenaan.

Fakir miskin turut mendapat perhatian ramai apabila dua orang fakir miskin di Kampung Anggerak Desa dan Kampung Lambak Kanan menerima sumbangan derma, hasil kutipan daripada orang ramai yang diungkayahkan oleh Kumpulan Belia Masjid Ash-Shaliheen.

Haji Amir Hisham semasa menyampaikan sumbangan.
Haji Amir Hisham semasa menyampaikan sumbangan.

Sumbangan berupa barang keperluan harian telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri kepada penerima iaitu Dayang Siti Aminah binti Othman dari Kampung Anggerek Desa dan Awang Ruslan bin Haji Mat Samat dari Kampung Lambak Kanan.

Turut sama dalam rombongan berkenaan ialah pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, ahli jawatankuasa (AJK) takmir masjid dan Kumpulan Belia Masjid Ash-Shaliheen.

Sumbangan derma itu adalah untuk membantu meringankan bebanan fakir miskin, serta bagi menanamkan sifat bantu-membantu dalam kalangan pegawai masjid dan AJK takmir, jemaah serta para belia dalam menjaga kemaslahatan masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA