Sumbangan terus giat dihulur

Sumbangan terus giat dihulur

Oleh Pg Fairol RMF, Normazlina M.D, Siti Nur Wasimah S. & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Kurang seminggu lagi, bulan Ramadan akan meninggalkan kita, namun pelbagai pihak di negara ini terus rancak menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik untuk mengongsikan kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Antara yang menghulurkan sumbangan, hari ini, ialah Darussalam Holdings Sdn Bhd yang memberikan bantuan kepada 10 buah keluarga terpilih di Daerah Tutong menerusi Projek Amal Al Birr Wat Taqwa ke-8.

Projek khidmat masyarakat yang dikendalikan oleh Jabatan Pentadbiran dan Sumber Tenaga Manusia dan Korporat tersebut melibatkan pengagihan sumbangan bantuan kepada tiga buah keluarga di Kampung Penapar, tiga di Kampung Lubok Pulau dan empat di Kampung Bukit Udal Ukong.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sumbangan tersebut ialah Pengarah Urusan Darussalam Holdings Sdn Bhd, Haji Mahmud bin Haji Mohamed.

Projek yang dijalankan sejak tahun 2009 ini merupakan salah satu inisiatif Darussalam Holdings Sdn Bhd melalui Tanggungjawab Sosial Korporat khususnya pada setiap bulan Ramadan.

Pihak Darussalam Holdings Sdn Bhd ketika menyampaikan sumbangan kepada salah sebuah ahli keluarga yang terpilih di Daerah Tutong.
Pihak Darussalam Holdings Sdn Bhd ketika menyampaikan sumbangan kepada salah sebuah ahli keluarga yang terpilih di Daerah Tutong.

Projek ini juga menjunjung titah dan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi penglibatan semua agensi kerajaan termasuk swasta pada memeduli dan mengambil berat kebajikan rakyat serta penduduk yang berpendapatan kecil khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Sementara itu, enam orang anak yatim daripada Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) turut menerima sumbangan derma pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat KACA, Kiulap pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian derma ialah Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.

Turut hadir juga ialah Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman; Pengurus Lotus Light Charity Society, Yeo Tiong Lok dan para dermawan yang telah memberikan sumbangan.

Haji Awang Abdul Alim semasa menyampaikan ucapannya, telah melahirkan perasaan gembira dan setinggi-tinggi penghargaan kepada dermawan yang telah memberikan sumbangan.

Sumbangan berkenaan adalah daripada tiga kumpulan iaitu KACA, Lotus Light Charity Society dan juga hamba Allah SWT dalam usaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Anak-anak yatim dari Persatuan Kanak-kanak Cacat bergambar ramai bersama warga KACA dan wakil kumpulan yang menghulurkan sumbangan.
Anak-anak yatim dari Persatuan Kanak-kanak Cacat bergambar ramai bersama warga KACA dan wakil kumpulan yang menghulurkan sumbangan.
Seramai 600 orang anak yatim, warga SMARTER Brunei dan ibu tunggal di Mukim Sengkurong menerima sumbangan derma daripada SKH.
Seramai 600 orang anak yatim, warga SMARTER Brunei dan ibu tunggal di Mukim Sengkurong menerima sumbangan derma daripada SKH.

Di Mukim Sengkurong pula, lebih kurang 600 orang anak yatim, warga SMARTER Brunei dan ibu tunggal di mukim berkenaan menerima sumbangan derma daripada Sim Kim Huat Sdn Bhd.

Majlis penyampaian sumbangan berkenaan berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong yang dihadiri oleh Pengarah Urusan Sim Kim Huat. Turut hadir ialah Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir.

Sumbangan berkenaan merupakan projek tahunan SKH bagi sama-sama memeriahkan lagi bulan Ramadan dan juga sambutan lebaran yang tidak lama lagi tiba.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menanamkan rasa prihatin dan tanggungjawab kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal di mukim berkenaan agar mereka tidak merasa tersisih apabila menjelangnya bulan Syawal nanti.

Manakala itu, bekas pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah tahun 1989/1990 pula menyumbangkan barangan keperluan asas dan makanan kepada sembilan buah keluarga yang terdiri daripada golongan fakir miskin dalam projek kempen amal.

Bekas pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah tahun 1989/1990 menyumbangkan barangan keperluan asas dan makanan kepada sembilan buah keluarga yang terdiri daripada golongan fakir miskin.
Bekas pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah tahun 1989/1990 menyumbangkan barangan keperluan asas dan makanan kepada sembilan buah keluarga yang terdiri daripada golongan fakir miskin.

Sumbangan berupa barangan keperluan seharian itu adalah hasil kutipan daripada ahli-ahli bekas pelajar tahun tersebut dalam tempoh kurang dari seminggu sementara itu, senarai nama yang berhak menerima diperolehi daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Kempen berkenaan diadakan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan membantu golongan yang memerlukan di samping itu terus berkumpul dengan bekas pelajar Maktab Duli yang ada antaranya tidak berjumpa lebih 20 tahun.

Dalam pada itu, rombongan bekas pelajar berkenaan turut menyampaikan penghargaan kepada Pengetua Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Hajah Norwen binti Haji Ibrahim yang juga bekas pelajar Maktab Duli kerana berkesudian membantu menyediakan tempat berkumpul dan juga menyimpan barangan kutipan sebelum diagih-agihkan kepada para penerima.

ARTIKEL YANG SAMA