Sumbangan untuk mangsa gempa datang mencurah-curah

Sumbangan untuk mangsa gempa datang mencurah-curah

Oleh Anwar Rosly

Gambar oleh Jiwan Bishwakarma

 

KUALA BELAIT, 4 Mei – Pelbagai bentuk sumbangan, termasuk wang tunai dan barang keperluan asas, datang mencurah-curah daripada pelbagai pihak, termasuk dari orang awam dan syarikat-syarikat swasta yang prihatin akan penderitaan mangsa bencana gempa bumi di Nepal, baru-baru ini.

Pengarah Urusan Kedai Restoran dan Barang Kemas Gurkha Palace, Jiwan Bishwakarma, semasa ditemui di Seria baru-baru ini, berkata, pihaknya kini menerima lebih 200 kotak yang berisi pakaian, makanan dan barang-barang keperluan asas yang lain.

“Apabila saya mendengar mengenai kejadian tersebut, pihak kami membuat keputusan untuk bertindak membantu warga Nepal dengan menjadikan kedai ini sebagai tempat penerimaan derma dan dari saat itu sehingga hari ini, lebih 50 orang awam yang prihatin dan berbagai syarikat di antaranya seperti Petrokon, bank-bank HSBC dan BIBD serta Pusat Beli-Belah Milimewah datang menghulurkan sumbangan,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa, mereka juga menerima kutipan wang yang terus digunakan oleh mereka untuk membeli barang-barang keperluan asas untuk dihantar ke negara yang dilanda bencana itu nanti.

Pelbagai jenis sumbangan telah diterima oleh Gurkha Palace daripada orang ramai untuk dihantar kepada mangsa-mangsa bencana gempa bumi di Nepal.
Pelbagai jenis sumbangan telah diterima oleh Gurkha Palace daripada orang ramai untuk dihantar kepada mangsa-mangsa bencana gempa bumi di Nepal.

pg06_150505_a

“Maklum balas dan kemurahan hati warga Daerah Belait amat menyentuh hati kami dan kami ingin berterima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama dan membantu kami dalam bantuan kemanusiaan ini,” beliau menyatakan penghargaannya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sesiapa yang ingin tampil untuk menghulurkan apa jua jenis bantuan boleh datang semasa kedai tersebut dibuka setiap hari pada jam 10 pagi hingga 7 malam di Jalan Masjid, Pekan Seria.

ARTIKEL YANG SAMA