Sumber biomass Sarawak boleh jana tambahan pendapatan

Sumber biomass Sarawak boleh jana tambahan pendapatan

KUCHING, 7 Okt – Sumber biomass Sarawak boleh menjana tambahan RM4.8 bilion dalam pendapatan negara kasar (PNK) dan RM18 bilion dalam potensi pelaburan dalam keseluruhan rantaian nilai biomass.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, sumber biomass negeri itu cukup untuk menyokong 10 kilang biobahan api dan biokimia untuk lima tahun akan datang.

“Berdasarkan kajian baru-baru ini oleh kerajaan negeri, sektor itu juga boleh mewujudkan 35,000 pekerjaan mesra alam sekitar selain daripada potensi RM18 bilion dalam peluang pelaburan,” katanya sebelum pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kilang penapis petroleum kedua terbesar Korea Selatan, GS Caltex dan Biomass Renewable Resources di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar.

MoU itu akan memudahkan pelaksanaan kajian kemungkinan oleh GS Caltex untuk mendirikan kilang bio-butanol di Sarawak dan membangunkan industri biomass di negeri itu.

Adenan berkata, Miri, Bintulu, Tanjung Manis dan Kuching adalah empat kawasan dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan kilang bio-butanol.

“Keempat-empat kawasan itu mempunyai biomass minyak sawit yang banyak seperti tandan buah kosong, pelepah kelapa sawit dan sisa pembalakan.

“Kami bekerjasama rapat dengan Agensi Inovasi Malaysia sejak tahun lepas untuk mengenal pasti peluang biomass realistik,” katanya.

Adenan berkata, pelan pembangunan itu seiring dengan Strategi Biomass Negara 2020 bagi meneroka sumber biomass Malaysia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA