Sungai Belait meriah

Sungai Belait meriah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Sept – Kawasan Taman Persiaran Cendera Kenangan Kuala Belait, hari ini, meriah dengan deruan enjin bot laju dan jet ski serta tempikan bersemangat para pengayuh semasa perlumbaan dalam Karnival Sungai Belait yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam peringkat Daerah Belait.

Hadir menyaksikan perlumbaan dalam karnival berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun bagi Daerah Belait, ketua-ketua jabatan dan cawangan di Daerah Belait, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta jemputan lainnya.

Perlumbaan berkenaan telah dibahagikan kepada sembilan acara iaitu Bot Laju 50 kuasa kuda, Bot Laju 60 kuasa kuda, Jet Ski 1600cc, Jet Ski 1800cc, Lumba Perahu Nelayan 30 kuasa kuda, Lumba Perahu 12 Pekayuh Terbuka, 15 pekayuh terbuka dan 20 pekayuh terbuka bagi jabatan-jabatan kerajaan di Daerah Belait.

Pasukan Gabungan Sukarelawan Bomba Operasi ‘B’, ‘A’ telah menjuarai perlumbaan perahu 12 pekayuh bagi Kategori Jabatan-Jabatan Kerajaan Daerah Belait sahaja, yang diikuti oleh Pasukan Gabungan Sukarelawan Bomba Operasi B ‘B’, di tempat kedua dan tempat ketiga disandang oleh Pasukan Jabatan Daerah Belait Gabungan Penghulu dan Ketua Kampung.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta perlumbaan dan ahli-ahli jawatankuasa perayaan.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta perlumbaan dan ahli-ahli jawatankuasa perayaan.

Manakala itu, Lumba Perahu 15 Pekayuh bagi Kategori Jabatan-Jabatan Kerajaan Daerah Belait sahaja, telah dijuarai oleh Pasukan Gabungan Sukarelawan Bomba Operasi B ‘A’, diikuti Pasukan Gabungan Sukarelawan Bomba Operasi B ‘B’ di tempat kedua dan Pasukan Jabatan Daerah Belait Gabungan Penghulu dan Ketua Kampung di tempat ketiga.

Pasukan D-Ariss Team ‘A’ pula muncul johan bagi Lumba Perahu 15 Pekayuh Perahu Tradisi Terbuka dengan naib johan disandang oleh Pasukan D-Ariss Team B, manakala itu, johan Lumba Perahu 20 Pekayuh Perahu Tradisi Terbuka pula telah disandang oleh Pasukan D-Ariss Team A dan Pasukan D-Ariss Team B selaku naib johan.

Perlumbaan Bot Laju 50 kuasa kuda pula dimenangi oleh Awang Ismail bin Haji Kabon dan naib johan ialah Awang Azizul bin Amran manakala Awang Nordin bin Haji Idris menduduki tempat ketiga. Bagi bot laju 60 kuasa kuda, Awang Maarof Mahar muncul juara diikuti oleh Awang Azizul dan Awang Jeremy Naweh masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Seterusnya bagi Kategori Perlumbaan Perahu Nelayan 30 kuasa kuda empat pusingan, johan disandang oleh Awang Hamdiah bin Haji Timbang, Awang Mohd Alfian di tempat kedua dan Awang Ismail bin Japar di tempat ketiga.

Perlumbaan Jet Ski 1600cc pula dijuarai oleh Christopher Keasberry (Jetstar Racing), Awang Ismail bin Haji Kabon (Seri Laila) selaku naib johan dan Gabriel Cheong (Jetstar Racing) di tempat ketiga.

Sementara itu, bagi Kategori Jet Ski 18000cc, johan disandang oleh Haji Idzam Norhaidi bin Haji Mashud (Jetstar Racing) dengan diikuti oleh Awang Ismail (Seri Laila) selaku naib johan dan Gabriel Cheong (Jetstar Racing) menduduki tempat ketiga.

Perlumbaan berkenaan, acara bot laju telah disertai 30 peserta, lumba perahu 14 pasukan dan acara jet ski seramai 10 peserta.

Selain perlumbaan, karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan acara-acara sampingan seperti jualan Satu Kampung Satu Produk, gerai-gerai jualan dan pertandingan mewarna.

ARTIKEL YANG SAMA