Sungkai bersama pelatih Pusat Bahagia

Sungkai bersama pelatih Pusat Bahagia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Orang-orang berkeperluan khas di negara ini terus diberikan perhatian serta tidak diabaikan yang mana mereka juga diberikan peluang untuk sama-sama menikmati suasana berbuka puasa beramai-ramai dengan pelbagai hidangan juadah yang lazat.

Di atas dasar pemedulian itu, Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama beberapa buah syarikat swasta telah mengadakan Majlis Bersungkai Bersama Murid dan Pelatih Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara di Pusat Bahagia, Kampung Pulaie, kelmarin.

Hadir dan turut sama menyertai majlis bersungkai bersama murid dan pelatih pusat berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, para pegawai kanan dari KKBS serta Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Yang Berhormat Pehin serta wakil-wakil dari syarikat swasta menyampaikan sumbangan kepada para murid di majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin serta wakil-wakil dari syarikat swasta menyampaikan sumbangan kepada para murid di majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair yang menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair yang menghadiri majlis berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Guru Agama, Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara, Awang Nuurmatin bin Haji Abu Bakar.

Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada murid dan pelatih pusat berkenaan.

Di samping itu, sumbangan dalam bentuk kewangan juga dihulurkan oleh syarikat-syarikat swasta yang disampaikan oleh Stanley Lim Hock Ghim dari Borneo United Enterprise Sdn Bhd, Mohd Zaidi bin Abdullah dari Dee Jay Home Video dan Steven Huong Hau Yiew dari Hasmit Electrical & Lighting Sdn Bhd.

Selain menyampaikan sumbangan, syarikat-syarikat swasta berkenaan turut bermurah hati untuk membiayai majlis bersungkai.

Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut beramah-mesra dengan para pelatih dan murid-murid pusat itu.

ARTIKEL YANG SAMA